Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Kemalangan yang hampir meragut nyawanya kira-kira 20 tahun lalu memberi kesan kepada Mohammad Hafizi Hassan yang kini hanya terlantar di atas katil selepas saraf tunjangnya putus.

Menurutnya, kemalangan berlaku ketika dia berusia 15 tahun dan menunggang motosikal sendirian untuk menjemput anak saudaranya pulang dari sekolah.

Katanya, tragedi sukar dilupakan itu berlaku di hadapan rumahnya di Kampung Kepala Parit Luar, Tokai, di sini, selepas dirempuh kereta yang gagal memotong kenderaan lain sebelum melanggarnya.

"Saya menjalani pembedahan untuk menyelamatkan nyawa dan kesannya kini saya tidak dapat bergerak.

"Ketika itu, peluang hanya 50-50 untuk hidup, namun saya bersyukur kerana masih bernafas sehingga sekarang walaupun hanya mampu terlantar atas katil khas diberi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Saya tidak dapat berjalan seperti orang lain dan kini tergolong sebagai orang kurang upaya (OKU) fizikal dan menerima bantuan bulanan dari JKM," katanya.

Mohamad Hafizi berkata, kehidupan sehariannya dibantu ibunya, Holijah Abu Seman, 76, dan bapanya, Hassan Taib, 75.

Namun, menurutnya, dia bimbangkan kesihatan ibunya yang menghidap penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi manakala bapanya pula mempunyai masalah paru-paru.

Katanya, ibu dan bapanya sudah uzur dan mereka tidak bekerja manakala tiga adik beradik lain tinggal berasingan dan masing-masing sudah berkeluarga.

"Saya anak bongsu dalam empat beradik, tetapi disebabkan masalah dialami sekarang ini, saya bergantung sepenuhnya pada ayah dan emak selain berharap wang bantuan JKM setiap bulan.

"Saya kerap mendapatkan rawatan susulan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) selain rawatan psikitrik di Hospital Lama Alor Setar kerana mempunyai masalah 'panic attack'," katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin membantu Mohamad Hafizi boleh menyumbang menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 02131-41-00003493-8.

Sementara itu, Pengerusi Cancer Survivor Malaysia (CSM), Zuraini Kamal yang menziarahi Mohamad Hafizi menghulurkan sumbangan wang tunai serta barangan keperluan harian termasuk lampin pakai buang, susu formula khas, ubat cuci dan barangan dapur.

Menurutnya, kejadian dialami pemuda itu amat menyedihkan kerana tidak dapat bergerak akibat kemalangan 20 tahun lalu.

Katanya, pihaknya turut menghadiahkan sebuah komputer riba supaya Mohamad Hafizi tidak bosan berada di rumah sepanjang hari kerana skrinnya lebih besar berbanding telefon bimbit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Oktober 2021 @ 1:27 PM
ZURAINI (tengah) menghadiahkan komputer riba kepada Mohamad Hafizi yang terlantar akibat kemalangan jalan raya 20 tahun lalu ketika mengunjungi rumahnya di Kampung Kepala Parit Luar, Tokai. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
ZURAINI (tengah) menghadiahkan komputer riba kepada Mohamad Hafizi yang terlantar akibat kemalangan jalan raya 20 tahun lalu ketika mengunjungi rumahnya di Kampung Kepala Parit Luar, Tokai. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI