SEBAHAGIAN 14 bayi Tahun Baharu 2020 yang dilahirkan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB). FOTO Balqis Jazimah Zahari.
SEBAHAGIAN 14 bayi Tahun Baharu 2020 yang dilahirkan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB). FOTO Balqis Jazimah Zahari.
Balqis Jazimah Zahari


“ALHAMDULILLAH tercapai juga impian ibu mentua. Dapatlah anak sambut hari jadi dengannya nanti,” kata Nurizzati Syazwani Abdul Halim, 26.

Wanita itu antara 14 ibu yang melahirkan bayi pada tarikh 1 Januari 2020 di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, hari ini.

Nurizzati Syazwani berkata, ibu mentuanya memang menyimpan impian berkongsi tarikh lahir dengan cucu sulung, dan impiannya tercapai apabila dia selamat melahirkan bayi jam 1.51 pagi, hari ini.

Lebih menggembirakan, katanya, bayi seberat 2.99 kilogram (kg) itu dilahirkan pada tarikh istimewa selepas setahun mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Farhan Mat Kamil, 27.

“Kesemua ahli keluarga memang teruja dan tertunggu-tunggu untuk menyambut kelahiran bayi yang juga cucu sulung bagi kedua-dua belah keluarga saya dan suami.

“Kelmarin, sudah ada tanda-tanda sakit hendak bersalin, saya ingat esoknya bersalin, namun memang rezeki anak sulung lahir tahun 2020,” katanya.

Seorang lagi ibu bertuah, Yip May Wan, 30, berkata, mengikut perancangan bayinya dijadualkan dilahirkan semalam.

Katanya, kelahiran bayi perempuan sulung itu memang dinantikan hampir tiga tahun mendirikan rumah tangga dengan Wong Heng Thong, 50.

Menurutnya, bayi seberat 3.24 kg itu dilahirkan jam 2.36 pagi.

Sementara itu, Ketua Jururawat Dewan Bersalin HRPB, Hashimah Md Salleh berkata, seramai 14 bayi iaitu enam perempuan dan lapan lelaki dilahirkan antara jam 12.16 tengah malam hingga 10.52 pagi tadi di hospital berkenaan.

“Bayi paling awal dilahirkan pada 12.16 tengah malam iaitu bayi perempuan seberat 2.13 kg.

“Setakat ini, 14 ibu yang bersalin dengan empat daripadanya kelahiran melalui pembedahan,” katanya ketika ditemui di hospital berkenaan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 January 2020 @ 4:08 PM