Fairul Asmaini Mohd Pilus


“Sepatutnya saya dijangka melahirkan bayi perempuan pada 16 Januari depan, namun petang semalam sudah mula rasa sakit bersalin.

“Saya bergegas ke hospital tengah malam tadi dan Alhamdulillah, selepas 12 jam di bilik bersalin, anak keempat kami selamat dilahirkan. Ini adalah rezeki tahun baru untuk kami sekeluarga," kata Suraya Abdul Razak, 38.

Perunding Perniagaan syarikat konglomerat itu selamat melahirkan bayi perempuan seberat 2.8 kilogram (kg) secara normal pada 12.28 tengahari tadi di Hospital KPJ Ampang Puteri, Kuala Lumpur.

Bayi perempuan itu adalah antara tiga bayi tahun baru yang dilahirkan di hospital berkenaan sehingga 5 petang tadi.

Menurut Suraya, dia sekeluarga merancang untuk menyaksikan pertunjukan bunga api tengah malam tadi namun rancangan itu terpaksa dibatalkan kerana perlu bergegas ke hospital.

"Ketika mula merasakan tanda untuk bersalin, saya ingatkan ia hanya sakit biasa dan sempat membawa tiga anak bersiar-siar, semalam.

"Memang terkejut dan tidak sangka akan bersalin dua minggu awal namun saya sekeluarga bersyukur kerana anak perempuan yang dilahirkan sihat dan sempurna sifat," katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Pegawai bank, Noralizah Alias, 40, juga tidak menyangka anak kelimanya lahir dua minggu awal dari tarikh jangkaan doktor.

Kata Noralizah, dia dijangka melahirkan bayi lelaki pada 14 Januari ini .

"Selepas beberapa kali mengalami tanda untuk bersalin, saya dan suami bergegas ke hospital malam tadi sebelum dimasukkan ke bilik bersalin pada 12.30 tengah malam.

"Alhamdulillah, proses bersalin kali ini lancar dan tepat 1.57 pagi tadi, saya selamat melahirkan bayi lelaki seberat 3.02 kg," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2018 @ 7:12 PM
SURAYA Abdul Razak, 38 (kiri duduk) dan Norlizah Alias, 40 (kanan duduk) bersama suami dan bayi masing masing dilahirkan pada Tahun Baru 2018 di KPJ Ampang Puteri. FOTO Nurul Shafina Jemenon
SURAYA Abdul Razak, 38 (kiri duduk) dan Norlizah Alias, 40 (kanan duduk) bersama suami dan bayi masing masing dilahirkan pada Tahun Baru 2018 di KPJ Ampang Puteri. FOTO Nurul Shafina Jemenon