NURIZZATY Sazwani bersama hadiah kempen 30 Hari 30 Frontliners di Hospital Raub.
NURIZZATY Sazwani bersama hadiah kempen 30 Hari 30 Frontliners di Hospital Raub.

Raub: Sejak bertugas sebagai petugas barisan hadapan di Wad Covid 19, Bahagian Perempuan di Hospital Raub, Nurizzaty Sazwani Ismail, 29, sudah sembilan bulan tidak pulang ke rumah keluarganya di Dong.

Malah, beliau sanggup menyewa rumah di bandar Raub bagi memastikan keselamatan ibu dan ayahnya.

Sebelum ini beliau tinggal bersama ibu bapanya di Dong, tetapi sejak bertugas di wad itu beliau membuat keputusan tidak pulang ke rumah demi keselamatan mereka.

Katanya, untuk menghilangkan rasa rindu, beliau hanya membuat panggilan video untuk bertanya khabar.

Beliau menerima hakikat terpaksa meninggalkan keluarga demi melaksanakan tugas dan tanggungjawab untuk negara kerana itu pilihannya sejak kecil.

Nurizzaty berkata, sudah tujuh tahun setengah menjadi jururawat di Raub dan ditugaskan di wad berkenaan sejak sembilan bulan lalu.

Bercerita pengalaman menguruskan pesakit Covid-19 di wad jagaannya, anak kelahiran Dong itu berkata, ia pengalaman yang sangat bermakna.

"Banyak peraturan perlu dipatuhi, bukan sekadar di tempat kerja, tetapi juga ketika di luar bersama masyarakat.

"Mengenai pengurusan petugas di wad, semestinya kami menerapkan elemen kerja berpasukan dan membuat perancangan awal terutama berkaitan penjagaan serta rawatan pesakit," katanya selepas dipilih sebagai pemenang kempen 30 Hari 30 Frontliners.

Menerusi kempen dianjurkan oleh Hot FM, Fly FM, Harian Metro dan Central Sugars Refinery (CSR), Nurizzaty membawa pulang hadiah bernilai RM500 dan barangan keperluan sebagai tanda terima kasih terhadap kerja keras, pengorbanan serta penat lelah sepanjang menjalankan tanggungjawab sebagai petugas barisan hadapan.

Anak kedua dari dua adik-beradik itu berkata, setiap hari beliau menyantuni pesakit Covid-19 pelbagai peringkat umur yang memerlukan rawatan.

Justeru beliau akan menganggap semua pesakit itu sebagai ibu, kakak, adik dan sahabat sendiri supaya mereka tidak berasa keseorangan di wad itu.

Katanya, kami faham ramai pesakit yang rasa tertekan kerana tidak boleh dilawati keluarga dan kami terpaksa memainkan peranan untuk memberi keyakinan kepada mereka.

"Sepanjang bertugas di wad ini hanya seorang meninggal di depan mata saya ketika menerima rawatan.

"Ramai yang sembuh dan itu satu kemenangan bagi kami yang bertugas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Ogos 2021 @ 10:51 AM