GELAGAT kanak-kanak perempuan yang mencuri barang milik peniaga dirakam CCTV di Pasar Awam Sungai Besar, kelmarin. FOTO ihsan pembaca.
GELAGAT kanak-kanak perempuan yang mencuri barang milik peniaga dirakam CCTV di Pasar Awam Sungai Besar, kelmarin. FOTO ihsan pembaca.
Amirul Aiman Hamsuddin


SIASAT sebelum tuduh sembarangan kerana kanak-kanak dituduh mencuri di media sosial adalah golongan orang kurang upaya (OKU) mempunyai masalah pembelajaran.

Itu pengesahan diberikan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias yang memaklumkan laporan polis berkaitan kes curi barang di Pasar Awam Sungai Besar, yang tular di Facebook (FB), kelmarin ditarik semula oleh mangsa.

Menurutnya, suspek yang dituduh mencuri itu adalah kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang juga OKU mempunyai masalah pembelajaran.

“Dia (kanak-kanak perempuan) tidak ditahan. Pengadu (peniaga) dan kedua ibu bapa kanak-kanak itu sudah membuat penyelesaian di luar.

“Malah pengadu tidak sampai hati mengambil tindakan kerana ibu bapa kanak-kanak itu ada menunjukkan kad OKU kepadanya," katanya.

Tular di FB sejak semalam, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhubung kejadian seorang kanak-kanak perempuan mencuri barang di pasar itu.

Rakaman selama 2 minit 18 saat itu turut dimuat naik dalam YouTube menunjukkan kanak-kanak itu menyelinap masuk di bawah kanvas ditutup peniaga bagi mengambil barang.

Kanak-kanak itu kemudian keluar dari kanvas beberapa saat kemudian dengan membawa hasil curi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Disember 2019 @ 4:49 PM