Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Tragedi kemalangan pada 14 Disember 2012 masih segar di ingatan seorang wanita kerana mengubah statusnya daripada insan normal menjadi orang kurang upaya (OKU) fizikal.

Insiden itu berlaku ketika motosikal dibonceng Syarifah Zuhira Said Tahir, 31, bersama rakan bertembung dengan lori.

Akibatnya, Syarifah Zuhira yang menetap di Batu 8, Gombak, Selangor mengalami kecederaan saraf tulang belakang atau 'spinal cord injury' hingga lumpuh selama setahun sebelum dapat berjalan semula.

Hampir empat tahun juga Syarifah Zuhira mengambil masa untuk menerima keadaan dirinya dan kini, anak sulung daripada empat beradik tidak mengharap ihsan orang sekeliling saja.

Sebaliknya, Syarifah Zuhira berusaha mencari rezeki dengan menjadi pemandu e-hailing sejak lima tahun lalu.

Semua itu dilakukan walaupun dia sukar berjalan dan memandu kereta dalam tempoh lama kerana keadaan kaki kanan yang tak kuat.

"Ikutkan saya lumpuh (kekal) tapi Alhamdulillah, Allah beri saya peluang berpijak di bumi dan jalan semula cuma apabila bergelar OKU, bukan semua majikan ambil (bekerja) dan terfikir juga nak kerja apa dulu.

"Bagaimanapun, saya pergi ambil lesen (kereta) namun awalnya tak boleh mohon jadi pemandu e-hailing kerana masih dalam tempoh lesen P.

"Sementara tunggu lesen penuh, saya kerja lain dahulu dan mula jadi pemandu e-hailing pada September 2018.

"Mulanya, saya hanya mengambil penumpang di kawasan dekat saja kerana waktu itu boleh pilih (penumpang) secara manual kerana fikirkan diri perempuan dan OKU tetapi kini tiada pilihan jadi hanya mampu berdoa sebelum pandu kereta," katanya ketika ditemui Harian Metro di Stadium Titiwangsa, di sini.

Berkongsi pengalamannya sebagai pemandu e-hailing OKU, Syarifah Zuhira berkata, rata-rata masyarakat tempatan faham dengan keadaannya yang berstatus OKU walaupun zahirnya nampak normal.

"Ada (penumpang) yang kasihan dan bagi tip kepada saya. Ada juga tanya macam mana boleh jadi OKU, tak kurang juga takut.

"Tapi pernah juga saya ditengking penumpang 'mat saleh' kerana tak dengar katanya membuat pusingan U di tempat salah.

"Waktu itu, saya bertegas tak ikut permintaannya dan akhirnya dia (penumpang) yang mohon maaf," katanya yang pernah mendapat rawatan selama tiga bulan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan tiga bulan lagi di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC).

Syarifah Zuhira tidak menafikan ada yang memperlekehkan dan kurang yakin dengan kemampuannya menjadi pemandu e-hailing kerana status sebagai OKU fizikal.

"Biasalah orang kata saya perempuan jadi bahaya dan kalau apa-apa berlaku macam mana?

"Tapi bagi saya apa yang utama keluarga iaitu emak, ayah dan adik beradik sokong.

"Lagipun, saya tengok ada rakan OKU berkerusi roda pun boleh (jadi pemandu e-hailing) jadi mengapa tidak saya?.

"Pandangan orang, OKU dapat bantuan tapi bukan semua dan saya pula bukan jenis meminta jadi selagi ada kudrat, kita kerja kerana bagi saya OKU adalah Orang Kuat Usaha.

"Cuma biasanya kerja lima hari dalam seminggu dan jika tak larat atau rasa penat saya ambil cuti," katanya.

Syarifah Zuhira Said Tahir. FOTO GENES GULITAH
Syarifah Zuhira Said Tahir. FOTO GENES GULITAH

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2023 @ 2:02 PM