ABD Jalil bertanya sesuatu kepada pengusaha bas pada majlis penutup program keselamatan jalan raya bersama pengusaha bas sekolah. FOTO Muhd Asyraf Sawal
ABD Jalil bertanya sesuatu kepada pengusaha bas pada majlis penutup program keselamatan jalan raya bersama pengusaha bas sekolah. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


POLIS menafikan keadaan tidak terkawal dan tidak selamat seperti digembar-gemburkan sesetengah pihak kononnya sedang berlaku di Cameron Highlands.

Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan berkata, sebaliknya destinasi pelancongan itu selamat dikunjungi orang ramai dan keadaan terkawal serta aman daripada sebarang rusuhan.

“Ya kita ada terima berita yang tular itu mengatakan Cameron Highlands tidak selamat untuk dikunjungi pelancong.

“Perkara itu tidak benar, keadaan di sana terkawal. Pihak kita terutama polis di Cameron Highlands mengambil langkah berjaga-jaga dan mengikut prosedur seperti ditetapkan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada majlis penutup program keselamatan jalan raya bersama pengusaha bas sekolah di Kompleks Logistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Alor Akar, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan terdapat kekecohan berlaku antara pengusaha kebun haram di Cameron Highlands dan pihak berkuasa selepas tindakan diambil kerajaan negeri untuk memusnahkan kebun itu mendapat tentangan.

Kerajaan Pahang sebelum ini menegaskan bahawa semua tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti penerokaan haram di Cameron Highlands, terutamanya di kawasan tadahan air Kuala Terla, Sungai Ichat mematuhi segala undang-undang dan berlandaskan ‘rule of law’.

Sementara itu, Abd Jalil berkata, pihaknya hanya membantu Pejabat Tanah dan Galian dalam menguatkuasakan undang-undang di kawasan itu.

“Pendekatan yang kita gunakan adalah yang paling minimum, dakwaan mengatakan kita bertindak ganas adalah tidak benar sebaliknya berpandukan kepada prosedur dalam menyuraikan kekecohan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Abd Jalil turut meminta pengusaha bas sekolah menjalani pemeriksaan kenderaan masing-masing di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) bagi memastikan ia berada dalam keadaan baik.

Katanya, program keselamatan yang diadakan hari ini penting bagi mendidik pengusaha bas mematuhi setiap peraturan ditetapkan serta menitikberatkan aspek keselamatan dalam mengambil dan menurunkan pelajar sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Disember 2019 @ 3:30 PM