FOTO hiasan
FOTO hiasan
Muhamaad Razis Ismail


BANJIR gelombang kedua yang melanda negeri ini sejak minggu lalu pulih sepenuhnya apabila baki 38 mangsa banjir di Pasir Mas dibenarkan pulang jam 8 malam tadi.

Semua mangsa banjir itu, membabitkan 15 keluarga yang tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Bakong, Pasir Mas.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan Said Sidup berkata, cuaca baik di seluruh negeri sejak dua hari lalu menyebabkan paras air di beberapa kawasan yang ditenggelami air, surut mendadak.

“Alhamdulillah banjir di negeri ini pulih sepenuhnya apabila 38 mangsa terakhir sudah dibenarkan pulang malam tadi.

“Biarpun banjir berlaku lebih awal berbanding yang diramal pada 25 dan 26 Disember ini, kita sentiasa bersiap sedia dalam memastikan keperluan mangsa banjir di PPS mencukupi.

“Kita juga bersyukur daerah Tumpat tidak dinaiki air seperti yang diramal berikutan cuaca cerah sejak dua hari lalu,” katanya ketika dihubungi di Kota Bharu, hari ini.

Menurutnya, biarpun banjir sudah pulih, pihaknya sentiasa bersiap sedia berdepan kemungkinan banjir gelombang ketiga yang akan berlaku pada bila-bila masa sahaja.

“Pada masa sama, saya nasihatkan orang ramai sentiasa waspada dengan banjir dan mengikut arahan daripada pihak berkuasa dengan berpindah ke PPS yang ditetapkan.

“Ini bagi memudahkan tugas menyelamat dan urusan pengagihan bantuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Disember 2019 @ 6:18 PM