MERCUN yang dirampas JKDM Sarawak. FOTO ihsan JKDM
MERCUN yang dirampas JKDM Sarawak. FOTO ihsan JKDM
Garret Dawum


CUBAAN seorang lelaki mengaut keuntungan dengan mengedar mercun menjelang Krismas dan tahun baru gagal selepas ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Batu Kawa, Kuching, 19 Disember lalu.

Pengarah Kastam Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, serbuan dilakukan atas maklumat dan dijalankan sempena Operasi Petasan 2019.

“Pemeriksaan di rumah itu menjumpai 99 karton mercun seberat 3.154 tan bernilai lebih RM110,000.

“Siasatan juga mendapati rumah berkenaan dipercayai dijadikan stor untuk menyimpan mercun sebelum diedarkan kepada pembeli di sekitar Kuching,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

“Jika sabit kesalahan, pesalah akan didenda tidak kurang dari 10 kali ganda jumlah duti kastam atau RM50,000 mengikut mana-mana jumlah yang lebih besar dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai amaun duti kastam atau RM500,000 mengikut mana-mana amaun lebih besar, atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Disember 2019 @ 2:26 PM