RIZAL membuat aduan kepada Michael. FOTO Zain Ahmed
RIZAL membuat aduan kepada Michael. FOTO Zain Ahmed
Ibrahim Isa


TINDAKAN nekad pekerja kilang meminjam along untuk membayar yuran institusi pengajian tinggi (IPT) anaknya menyebabkan lelaki itu kini terjerat dengan kadar faedah tinggi.

Bermula dengan hanya meminjam RM2,000, bapa kepada lima anak itu kini buntu apabila terpaksa meminjam sehingga tujuh along dengan jumlah pinjaman sebanyak RM9,000 dan perlu membayar sehingga RM3,500 seminggu sedangkan gajinya kurang RM2,000 sebulan.

Mangsa dikenali sebagai Rizal, 53, berkata dia terpaksa meminjam along sebanyak RM2,000 pada September lalu apabila anak ketiga daripada lima beradik ditawarkan melanjutkan pengajian di sebuah IPT tempatan.

Katanya, disebabkan tiada wang untuk membayar yuran, dia terpaksa meminjam sebanyak RM2,000 namun cuma diberikan wang sebanyak RM1,500.

“Saya perlu membayar RM400 seminggu dan keadaan itu menyebabkan saya tertekan kerana hanya menerima gaji secara bulanan. Keadaan itu menyebabkan saya terpaksa meminjam dengan lima along lain untuk membayar antara satu along dan along lain dengan jumlah hutang meningkat kepada RM7,000.

“Pada Oktober lalu saya menerima tawaran dari seorang along menawarkan pinjaman sebanyak RM9,000 untuk menjelaskan semua hutang along lain dan hanya menjelaskan bayaran kepadanya.

“Saya yang ketika itu buntu, bersetuju dengan tawarannya itu namun hanya diberikan wang sebanyak RM5,050 dan perlu membayar faedah sebanyak RM1,500 pada minggu kedua setiap bulan,” katanya ketika ditemui di pejabat Biro Aduan MCA Johor, hari ini.

Menurutnya, dia membayar RM1,500 seperti yang diminta namun pada minggu berikutnya, along berkenaan meminta bayaran sebanyak RM3,500 menyebabkan dia tidak mampu.

Katanya, dia pernah meminta bayaran secara ansuran namun along berkenaan enggan berbuat demikian menyebabkannya tidak mampu menjelaskan jumlah bayaran diminta dan tampil membuat aduan.

Sehingga kini, katanya, along itu belum mengganggu secara fizikal namun pernah mengugut akan ‘ambil’ dia.

Bimbangkan keselamatannya, katanya, dia membuat laporan di Balai Polis Taman Pelangi pada 15 Disember lalu dan tampil membuat aduan.

“Saya mempunyai anak yang masih bersekolah dan isteri seorang suri rumah. Saya benar-benar terdesak dan berharap pihak berkuasa akan memberikan bantuan.

“Saya mahu membayar hutang tetapi biarlah secara ansuran dengan kadar munasabah. Apa yang diminta along ketika ini terlalu membebankan dan tidak masuk akal,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Aduan MCA Johor, Michael Tay Chee Boon berkata, sudah menghubungi along berkenaan untuk meminta bayaran ansuran yang munasabah dikenakan.

Katanya, mangsa hanya pekerja kilang dan bergaji bulanan, adalah tidak masuk akal sekiranya along memintanya menjelaskan bayaran secara mingguan.

“Selain itu, along itu bersetuju supaya Rizal hanya membayar RM2,000 dalam tempoh terdekat dan bukannya RM3,500 seperti yang diminta sebelum ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Disember 2019 @ 6:47 PM