Mah  (kanan) bersama  Ros menunjukkan salinan laporan polis kerana diganggu dan diugut along.
Mah (kanan) bersama Ros menunjukkan salinan laporan polis kerana diganggu dan diugut along.
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


Kuantan: “Kadang-kadang hendak balik rumah pun rasa takut kerana mereka (along) ugut mahu menghantar samseng untuk mengutip wang daripada saya dan ibu,” kata wanita yang mahu dikenali sebagai Ros, 40.

Katanya, hidup dia dan ibunya, Mah (bukan nama sebenar), 61, mula tidak tenteram sejak meminjam wang daripada ceti haram atau along awal tahun ini, dan sering diburu serta diugut sekiranya mereka tidak menjelaskan bayaran seperti yang ditetapkan setiap hari.

Ros berkata, bukan satu tetapi mereka turut meminjam daripada lima along sehingga menyebabkan semakin tertekan untuk menjelaskan keseluruhan pinjamannya berjumlah kira-kira RM6,000 manakala ibunya sebanyak RM7,300.

“Saya mula meminjam wang sebanyak RM1,500 untuk membayar sewa rumah yang tertunggak beberapa bulan. Saya terpaksa berbuat demikian kerana buntu untuk mencari wang.

“Pinjaman kedua pula dibuat daripada along yang lain yang pada mulanya untuk dijadikan modal jual kuih namun wang itu habis kerana membayar bunga pinjaman kepada along pertama,” katanya.

Menurutnya, oleh kerana dua along berkenaan memaksanya untuk menyelesaikan bayaran harian dalam masa yang singkat, dia terpaksa membuat pinjaman daripada tiga along yang lain.

Katanya, setiap hari telefon bimbitnya akan menerima panggilan bertalu-talu daripada individu yang ditugaskan untuk mengutip wang itu dan sekiranya gagal, nilai bunga pinjaman akan meningkat sehingga membuatnya terbeban.

Ros berkata, individu terbabit turut datang ke rumahnya dan mengugut untuk menyimbah cat merah.

“Saya tahu pasti ada orang yang mempersoalkan tindakan saya meminjam daripada along namun saya tidak mempunyai pilihan ketika itu dan keadaan begitu mendesak.

“Justeru, saya ingin meminta pertolongan sekiranya ada pihak sudi membantu untuk menyelesaikan hutang along ini,” katanya yang datang ke pejabat Harian Metro, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2017 @ 11:14 AM