Muhyiddin dimaklumkan Tommy hasil perbincangan dengan polis menerusi rakaman percakapan saksi, lakonan semula dan hasil bedah siasat pihak forensik patologi yang hanya boleh didedahkan di mahkamah kelak.
Muhyiddin dimaklumkan Tommy hasil perbincangan dengan polis menerusi rakaman percakapan saksi, lakonan semula dan hasil bedah siasat pihak forensik patologi yang hanya boleh didedahkan di mahkamah kelak.
Hidayatul Akmal Ahmad dan Nurul Hidayah Bahaudin dan Petah Wazzan Iskandar


KUALA LUMPUR: Peguam Negara akan mengarahkan majistret untuk mengadakan inkues bagi menentukan punca kematian anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Subang Jaya, Selangor, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau dimaklumkan oleh Peguam Negara Tommy Thomas hasil perbincangan yang diadakan selepas penemuan dapatan tertentu polis menerusi rakaman percakapan saksi, lakonan semula dan hasil bedah siasat pihak forensik patologi yang hanya boleh didedahkan di mahkamah kelak.

“Peguam Negara sudah memaklumkan kepada saya, beliau selaku pendakwa raya dalam menjalankan kuasanya di bawah Seksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah akan mengarahkan majistret untuk membuat siasatan (inkues) di bawah Bab XXXII Kanun sama bagi menentukan sebab kematian Allahyarham.

“Pihak pendakwa raya akan memohon kepada mahkamah supaya ditetapkan tarikh pendengaran dengan segera dan akan membantu majistret berkenaan dalam menjalankan inkues itu,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Muhyiddin berkata, dalam prosiding inkues itu, majistret akan mempunyai kuasa luas mengikut Seksyen 328 Kanun Tatacara Jenayah yang memberi erti punca kematian.

“Ini termasuk mempertimbangkan bagaimana Allahyarham menemui ajalnya dan sama ada kematiannya disebabkan atau dipercepatkan oleh, apa-apa perbuatan atau ketinggalan yang menyalahi undang-undang dilakukan orang lain,” katanya.

MUHAMMAD Adib
MUHAMMAD Adib

Beliau berkata, siasatan polis berhubung kematian Muhammad Adib menemukan dapatan tertentu yang hanya boleh didedahkan di mahkamah dan kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Muhammad Adib, 24, parah selepas dilaporkan diserang dan dipukul perusuh dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya, 27 November lalu.

Keluarga mahu keadilan

Keluarga anggota Bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, mahukan keadilan tanpa pilih kasih sekiranya kerajaan mahu membuat inkues bagi menentukan sebab kematian anak kedua mereka.

Mohd Kassim Abdul Hamid, 63, berkata, Adib sudah meninggal dunia dan hanya keadilan saja yang tinggal untuk anaknya itu.

“Jangan lindungi sesiapa yang bersalah. Pastikan kematian anak saya terbela.

“Inkues ini benda baik dan ia mampu memberi keadilan kepada Adib, malah kami sememangnya mahukan keadilan untuk Adib.

“Apabila ia dilaksanakan.. Ia diharapkan dilakukan secara adil bagi mencari punca dan mereka yang bersalah,” katanya yang dihubungi, semalam.

Netizen persoal keputusan

Netizen mempersoal keputusan kerajaan menyerahkan kepada Peguam Negara untuk mengarahkan Majistret membuat inkues menentukan sebab kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Mereka membangkitkan keperluan inkues dibuat memandangkan kes berkenaan diklasifikasi semula oleh polis sebagai membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Netizen turut mendakwa inkues itu tidak perlu kerana doktor pakar yang terbabit dalam bedah siasat juga akan mengemukakan laporan punca kematian Muhammad Adib.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Disember 2018 @ 8:19 AM