Siti Rohana Idris


DALAM tempoh lima tahun bermula 2014 hingga bulan lalu, 30 kertas siasatan dibuka membabitkan pegawai dan anggota polis di Kelantan.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, ia membabitkan kes narkotik, jenayah dan disiplin.

“20 daripada mereka sudah dikenakan tindakan iaitu 11 ditahan kerja, sembilan digantung (kerja) manakala selebihnya masih dalam siasatan.

“Semua kes ini membabitkan anggota dan pegawai pelbagai pangkat dan kesalahan yang dilakukan termasuk ingkar arahan, langgar prosedur operasi standard (SOP) dan tidak turun kerja.

“Kita tidak akan berkompromi terhadap anggota yang melakukan kesalahan malah tindakan tegas akan diambil,” katanya ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan hari ini.

Terdahulu beliau hadir pada majlis penyerahan lapan unit kenderaan Mitsubishi Outlander kepada IPK dan enam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).

ABDULLAH bersama enam kenderaan Mitsubishi Outlander untuk kegunaan polis trafik. FOTO Zaman Huri Isa
ABDULLAH bersama enam kenderaan Mitsubishi Outlander untuk kegunaan polis trafik. FOTO Zaman Huri Isa

Kenderaan berharga hampir RM140,000 seunit itu diserahkan kepada IPK (2) dan masing-masing satu unit kepada IPD Kota Bharu, Pasir Mas, Machang, Tumpat, Gua Musang serta Kuala Krai.

Abdullah berkata, kenderaan untuk penugasan trafik itu adalah bagi menggantikan kenderaan lama jenis Mitsubishi Pajero dan Proton Waja yang sudah berusia 15 tahun.

“Penyerahan ini adalah peringkat pertama dan akan digunakan bermula hari ini bagi penguatkuasaan trafik.

“Penambahan kenderaan seterusnya mungkin dilakukan peringkat kedua dijangka tahun hadapan,” katanya.

Berhubung banjir gelombang kedua yang dijangka berlaku 25 Disember ini, Abdullah mengingatkan orang ramai terutama yang tinggal di pesisir pantai supaya berhati-hati dan sentiasa berwaspada terhadap arahan pihak berkuasa.

“Kami juga kerap membuat pemantauan membabitkan anggota dari balai berhampiran kawasan pinggir pantai serta Pasukan Polis Marin (PPM),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Disember 2019 @ 1:00 PM