Bot dan penumpang yang diperiksa dalam Operasi Sejahtera di perairan Jeti Penumpang SAFMA dekat Kota Kinabalu semalam. Foto Ihsan APMM
Bot dan penumpang yang diperiksa dalam Operasi Sejahtera di perairan Jeti Penumpang SAFMA dekat Kota Kinabalu semalam. Foto Ihsan APMM
Norasikin Daineh

TEKONG bot membawa penumpang melebihi had dan tidak memakai jaket keselamatan membawa padah apabila dikenakan kompaun Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menerusi Operasi Sejahtera di perairan Jeti Penumpang SAFMA dekat Kota Kinabalu semalam.

Empat penumpang yang dibawa oleh tekong bot adalah individu yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah juga berjaya dikesan dalam operasi bermula 6 pagi itu.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Sabah Kepten Maritim Asmawati Mohd Tujeri berkata, sepasukan anggotanya bertindak menahan sebuah bot penumpang kira-kira 70 meter dari Jeti Penumpang SAFMA.

“Hasil pemeriksaan mendapati tekong berusia 38 tahun terbabit membawa 16 penumpang dan didapati melebihi had mengikut syarat sah lesen.

“Kita juga mendapati, semua penumpang tidak memakai jaket keselamatan dan hasil pemeriksaan empat daripada penumpang terbabit disyaki tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah ketika ditahan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurutnya, bot bersama empat individu berusia antara 18 hingga 50 tahun itu terpaksa ditahan serta dibawa ke Jeti APMM Sepanggar.

“Antara barang yang disita, sebuah bot tiada nombor pendaftaran, sebuah enjin sangkut, 14 jaket keselamatan dan lesen vesel.

“Kesalahan yang dikenal pasti adalah mengikut Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Terdahulu, Asmawati turut menasihatkan komuniti maritim sentiasa mengutamakan keselamatan diri ketika melakukan aktiviti di laut dengan memakai jaket keselamatan terutamanya di musim hujan dan keadaan laut bergelombang.

“Selain itu, semua pengusaha pusat peranginan harus memberi kerjasama mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan kepada pihak APMM ditalian Pusat Operasi Maritim 088-387774 dan talian MERS 999,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Disember 2019 @ 3:58 PM