KEADAAN kemalangan yang mengorbankan pemandu bas ekspres. FOTO Ihsan Bomba
KEADAAN kemalangan yang mengorbankan pemandu bas ekspres. FOTO Ihsan Bomba
Mary Victoria Dass


PEMANDU bas ekspres maut apabila bas yang dipandu tanpa penumpang hilang kawalan sebelum merempuh pokok berhampiran Kampung Baharu, Seri Lalang, Jalan Ayer Hitam, di Johor Bahru, 2 pagi hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berkata, Pusat Gerakan Operasi Negeri Johor menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999 pada 2.12 pagi tadi.

Menurutnya, sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) membabitkan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kluang dikejarkan ke tempat kejadian.

Katanya, siasatan mendapati berlaku kemalangan membabitkan sebuah bas Ekspress KKKL jenis Hino bernombor pendaftaran JMD9099.

“Kami percaya bas berkenaan terbabas lalu merempuh pokok.

“Manakala pemandu bas dikenali sebagai P Mathivanan, 52, tercampak keluar ke bahu jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang berada di lokasi.

“Bas itu tidak membawa penumpang dan operasi ditamatkan pada 2.33 pagi tadi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Disember 2019 @ 11:59 AM