KEMALANGAN bas dan kereta di Kilometer 89.1 Lebuhraya Utara Selatan  arah utara berhampiran Ayer Hitam, Batu Pahat. FOTO ihsan Bomba
KEMALANGAN bas dan kereta di Kilometer 89.1 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran Ayer Hitam, Batu Pahat. FOTO ihsan Bomba
Ibrahim Isa


ENAM cedera apabila bas ekspress dinaiki mereka terbabas dan terbalik di Kilometer 89.1 arah utara Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Ayer Hitam, hari ini.

Difahamkan dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu, bas dinaiki 12 penumpang dan seorang pemandu terbabas hingga memasuki laluan kanan lorong sama dan terbalik.

Akibatnya, enam daripada penumpang bas itu cedera dan ada di antara mereka tercampak keluar dari bas itu.

Secara kebetulan, Toyota Vios dinaiki seorang pemandu dan seorang penumpang tiba di lokasi, merempuh pembahagi jalan bagi mengelak bas berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Hitam Isyadi Dani, berkata, mereka menerima panggilan kecemasan pada 1.06 pagi dan dua jentera membabitkan 14 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

Menurutnya, apabila tiba pihaknya mendapati enam penumpang termasuk seorang wanita cedera akibat kejadian itu dan ada di antara mangsa masih berada di dalam bas.

"Kami membantu mengeluarkan mangsa yang cedera dan tidak boleh bergerak keluar dari bas.

"Sebaik dikeluarkan semua 15 mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk mendapatkan rawatan.

"Pada masa sama, pengurusan PLUS menggunakan kren untuk mengalihkan bas itu," katanya.

Katanya, operasi ditamatkan pada 3.40 pagi selepas laluan itu selamat digunakan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 September 2018 @ 10:55 AM