Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid dan Suhanna Iskandar


Gombak: Pengerusi Kampung Desa Mukmin Warisan, di sini, tidak dapat menahan sebak melihat rumah dan surau yang menjadi tempat tinggalnya sejak 12 tahun lalu dirobohkan bagi memberi laluan kepada jajaran projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Mohmad Najib Mokhtar, 70, yang juga bekas pesara polis berkata, rayuannya agar operasi merobohkan ditangguhkan ditolak oleh Pejabat Tanah dan Galian Selangor, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Saya cukup sedih kerana surau yang dibina hasil titik peluh saya, tak ada bantuan dari kerajaan negeri atau pusat.

"Ia adalah derma wakaf orang ramai terutama sekali bekas anggota PDRM. Itu yang saya cukup sedih.

"Saya mohon supaya surau tidak diroboh tapi mereka tetap nak roboh juga. Duit itu adalah dari kutipan wakaf orang ramai. Belum buat lagi ganti rugi. Kenapa diroboh?" katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Dianggarkan 150 rumah penduduk yang terbabit dalam jajaran ECRL berkenaan dirobohkan dalam operasi hari ini.

SEORANG lelaki melihat operasi merobohkan rumah untuk projek ECRL di Kampung Desa Mukmin Warisan, Sungai Pusu. FOTO Fathil Asri.
SEORANG lelaki melihat operasi merobohkan rumah untuk projek ECRL di Kampung Desa Mukmin Warisan, Sungai Pusu. FOTO Fathil Asri.

Sebelum ini dilaporkan seramai 157 penduduk terbabit jajaran itu akan diberikan pampasan ex-gratia.

Menurut laporan itu, Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Borhan Aman Shah berkata, kerajaan negeri dengan kerjasama Malaysia Railway Link (MRL) menawarkan bayaran ganti rugi kepada pemilik dan penyewa yang perlu mengosongkan kediaman sebelum 15 Januari.

Mohmad Najib berkata, sebanyak tujuh rumah tidak dirobohkan dalam operasi hari ini kerana dipercayai tidak terbabit dalam jajaran ECRL.

"Sekarang ini nak dirobohkan kira-kira lebih 150 rumah. Tapi ada kawasan itu tak kena roboh disebabkan tak kena laluan (ECRL)," katanya.

Pada masa sama, dia turut mengesahkan menerima pampasan ex-gratia sebanyak RM33,000, namun berpandangan jumlah itu tidak mencukupi.

"Rumah yang saya buat berjumlah RM150,000 tetapi saya dapat pampasan RM33,000. Memang tak berbaloi," dakwanya.

Katanya, selepas rumahnya dirobohkan hari ini, dia merancang untuk tinggal di rumah anak sulungnya.

Seorang lagi penduduk Kampung Desa Mukmin, Ahmad Fadzli Arif, 45, pula menyatakan kebimbangannya mengenai projek ECRL ini.

Katanya, walaupun rumahnya tidak terbabit dalam operasi perobohan, tetapi projek ini akan dijalankan di sebelah kediaman miliknya.

Ahmad Fadzli mendakwa, kebimbangan pihaknya adalah jika ada fasa kedua membabitkan projek ini di kawasan itu.

"Kita risau takut terbabit fasa kedua. Kalau boleh kita nak kekalkan kediaman tempat tinggal kita ini," katanya yang telah tinggal sejak lima tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2024 @ 1:59 PM
PENGUAT KUASA Pejabat Tanah dan Galian Persekutuan Selangor, melakukan operasi merobohkan rumah untuk projek ECRL di Kampung Desa Mukmin Warisan, Sungai Pusu. FOTO Fathil Asri.
PENGUAT KUASA Pejabat Tanah dan Galian Persekutuan Selangor, melakukan operasi merobohkan rumah untuk projek ECRL di Kampung Desa Mukmin Warisan, Sungai Pusu. FOTO Fathil Asri.