Tempoh perjawatan Perdana Menteri dibentang bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini. FOTO Eizairi Shamsudin
Tempoh perjawatan Perdana Menteri dibentang bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini. FOTO Eizairi Shamsudin
Mohd Husni Mohd Noor


AKTA Perlembagaan (Pindaan) (No 2) 2019 berkaitan perjawatan Perdana Menteri dijadualkan dibentang bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Menurutnya, bacaan kali pertama mengenainya akan dibuat hari ini.

“Saya akan ulas lebih lanjut selepas pindaan ini dibacakan di Dewan Rakyat,” katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut sama ada pindaan itu akan mengehadkan tempoh perjawatan Perdana Menteri atau tidak membenarkan individu pernah dilantik sebagai Perdana Menteri untuk menjawat jawatan itu semula.

Cadangan mengehadkan tempoh perjawatan Perdana Menteri kepada dua penggal bagi mengelak salah guna kuasa adalah antara janji Pakatan Harapan dalam manifesto pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil dalam ciapannya di Twitter memuat naik sebahagian dokumen pindaan akta berkenaan.

Dalam ciapan sama beliau turut menegaskan: “Pindaan Perlembagaan bagi mengehadkan jawatan PM (Perdana Menteri) ke dua penggal dibentang pagi ini #historic,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 12:34 PM