YANG di-Pertuan Agong berkenan menerima kunjungan Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan.
YANG di-Pertuan Agong berkenan menerima kunjungan Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan.
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijadualkan menerima menghadap Ketua Staf Pertahanan United Kingdom (UK), Sir General Nicholas Carter, esok yang akan menyentuh hubungan kerjasama ketenteraan dua hala Malaysia dan United Kingdom (UK).

Sesi itu adalah lanjutan lawatan khas Seri Paduka Baginda ke UK yang berakhir Ahad lalu.

Lawatan khas itu adalah yang kedua bagi Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke UK sejak baginda dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Sebelum ini, lawatan khas pertama dibuat selama tujuh hari bermula 9 Disember 2019.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa puas hati dan sukacita dapat bertemu diaspora Malaysia di negara terbabit kerana ia adalah peluang penting bagi mengetahui kebajikan dan perkembangan rakyat, walau di mana mereka berada.

"Sesi pertemuan diaspora Malaysia di UK dibahagikan kepada dua iaitu di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square, London pada 24 September lalu dan kedua di The Shire, London pada 26 September lalu.

"Sesi di The Shire, London turut membabitkan kehadiran rakyat Malaysia yang berada di luar ibu kota London, termasuk dari Liverpool, Manchester dan Wales.

"Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa bangga keupayaan syarikat milik rakyat Malaysia dan agensi kerajaan Malaysia yang menjalankan urusan perniagaan serta pelaburan dan beroperasi di negara itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

YANG di-Pertuan Agong berkenan berangkat melawat Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak, atau Tun Abdul Razak Research Centre (TARCC), di Brickendonbury, Hertford. FOTO Facebook Istana Negara
YANG di-Pertuan Agong berkenan berangkat melawat Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak, atau Tun Abdul Razak Research Centre (TARCC), di Brickendonbury, Hertford. FOTO Facebook Istana Negara

Menurutnya, dalam lawatan khas itu, Seri Paduka Baginda berkenan berangkat melawat Stesen Janakuasa Battersea, projek hartanah ikonik pelaburan Malaysia di London dan Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak (TARRC) di Brickendonbury, Hertford.

Stesen Janakuasa Battersea adalah projek hartanah berkeluasan 16.99 hektar membabitkan usaha sama antara Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Sime Darby Property dan SP Setia Berhad sejak 2012.

Manakala, TARRC adalah pusat penyelidikan dan penggalakan bagi Lembaga Getah Malaysia yang ditubuhkan pada 1938 dengan nama asal Persatuan Penyelidikan Pengeluar Getah Britain.

Dalam lawatan khas ini, Seri Paduka Baginda turut berkenan menerima kunjungan Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan di London.

Pada sesi pertemuan itu, Seri Paduka Baginda dan Sheikh Mohammed menyentuh hubungan dua hala dan peningkatan kerjasama dalam beberapa bidang berkaitan di antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Pada Mac lalu, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat Minyak Nasional Abu Dhabi (ADNOC) yang berpangkalan di UAE dan Masdar untuk meneruskan kerjasama merentasi rantaian nilai tenaga.

Kedua-dua pemimpin adalah rakan kolej di Akademi Tentera Diraja Sandhurst pada 1978 dan 1979 di mana persahabatan akrab mereka kekal hingga sekarang.

Kerjasama Petronas-ADNOC merangkumi seluruh rantaian nilai minyak dan gas di mana ADNOC mengalu-alukan Petronas untuk mencari peluang kerjasama dalam penerokaan, pembangunan dan pengeluaran sumber konvensional dan bukan konvensional di Abu Dhabi.

Manakala, MoU antara Petronas dan Masdar, peneraju global dalam tenaga boleh diperbaharui, membabitkan kedua-dua syarikat membina akses besar kepada penyelesaian tenaga bersih.

Kejayaan Petronas memeterai kedua-dua MoU ini adalah berikutan lawatan khas Seri Paduka Baginda ke Abu Dhabi UAE pada Disember 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 September 2021 @ 5:21 PM