BERNAMA

BEBERAPA wanita dipercayai pelayan pelanggan (GRO) menangis teresak-esak selepas ditangkap dalam serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri Perak di sebuah pusat hiburan di Lumut, awal pagi hari ini.

Pengarah JIM Perak Kamalludin Ismail berkata, ketika pemeriksaan, wanita warga Vietnam berkenaan merayu supaya tidak ditahan.

Dalam operasi membabitkan 20 anggota dan pegawai yang dijalankan bermula 12 tengah malam hingga 2 pagi, pihaknya menahan enam warga asing termasuk dua lelaki Vietnam.

“Lokasi ini kali kedua kita serbu tapi atas sebab tertentu kita hanya dapat tahan enam orang sahaja.

“Tapi akan terus lakukan pemantauan dari masa ke masa untuk pastikan tiada kesalahan dilakukan warga asing ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi hari ini.

Mengulas lanjut, Kamalludin berkata, pada operasi pertama yang dijalankan kira-kira dua bulan lalu, pihaknya berjaya menahan kira-kira 45 warga asing.

“Kalau ikutkan risikan memang ramai warga asing di sini tapi untuk masa hadapan kita akan lakukan risikan lebih kuat untuk pastikan tiada yang terlepas,” katanya.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan akan dibawa ke Pejabat JIM Perak untuk siasatan lanjut mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana salah guna pas lawatan sosial dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tanpa permit sah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 November 2019 @ 8:23 AM