ANTARA PATI yang ditahan dalam operasi berkenaan. FOTO Ihsan JIM
ANTARA PATI yang ditahan dalam operasi berkenaan. FOTO Ihsan JIM
Mohd Hafizee Mohd Arop


LARI tinggalkan isteri, bersembunyi di dalam hutan dan ruang rahsia di dalam bilik. Itu antara situasi yang dapat dilihat ketika Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak menyerbu 26 premis kediaman warga asing di sekitar Ipoh, bermula 10 malam kelmarin hingga 4 pagi semalam.

Namun, pelbagai cubaan dan taktik dilakukan warga asing ini gagal apabila pegawai dan penguat kuasa JIM yang terbabit dalam Ops Bersepadu itu berjaya menahan seramai 90 warga asing dari pelbagai negara untuk diperiksa.

Pengarah JIM Perak, Kamalludin Ismail berkata, pemeriksaan dijalankan terhadap kesemua warga asing itu berjaya menahan 54 pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia 21 hingga 55 tahun.

Katanya, tangkapan itu membabitkan 34 lelaki serta 16 wanita warga Indonesia, seorang wanita Vietnam dan tiga lelaki Bangladesh.

“Ketika serbuan di salah sebuah premis kediaman dilakukan, ada di antara warga asing ini yang sanggup meninggalkan isteri dengan melarikan diri ke dalam hutan berhampiran bagi mengelakkan diri dari ditangkap.

“Operasi di sebuah lagi premis kediaman di Chemor pula berjaya menemui seorang wanita Vietnam bersembunyi di ruang rahsia di dalam bilik dan pemeriksaan mendapati wanita itu sudah tidak pulang ke negara asalnya, sejak setahun lalu.

“Wanita itu juga gagal mengemukakan pasport kerana disimpan oleh suaminya warga tempatan dan menurut wanita itu, suaminya sedang cuba mendapatkan cop masuk secara tidak teratur atau ‘flying cop’ dari ejen tertentu,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Kamalludin berkata, siasatan awal mendapati kesemua yang ditahan melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih masa, berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah serta tinggal melebihi tempoh dibenarkan.

Katanya, kesemua mereka kini ditahan untuk siasatan serta tindakan lanjut dan JIM Perak sentiasa komited dalam membanteras kebanjiran PATI di negara ini.

Menurutnya, orang ramai juga diingatkan supaya tidak menyewakan premis kediaman mereka kepada PATI kerana boleh didakwa atas kesalahan melindungi atau membenarkan PATI berada di premis mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 September 2019 @ 2:16 PM