KEADAAN jalan dilimpahi air di Kampung Mak Bakas, Setiu, petang tadi akibat limpahan air sungai berhampiran. FOTO ihsan APM Terengganu.
KEADAAN jalan dilimpahi air di Kampung Mak Bakas, Setiu, petang tadi akibat limpahan air sungai berhampiran. FOTO ihsan APM Terengganu.
Hanneeyzah Bariah Baharin


PARAS air di beberapa sungai di Terengganu menunjukkan peningkatan dengan Sungai Besut di Stesen Jambatan Keruak, Besut, berada pada paras 35.2 meter (m) melepasi paras bahaya.

Mengikut laporan infobanjir.water.gov.my, Sungai Nerus di stesen Kampung Langkap, Setiu, pula melepasi paras amaran iaitu 20.8m setakat 6 petang hari ini.

Empat lagi sungai iaitu di Setiu, Besut dan Dungun direkodkan melepasi paras berjaga-jaga.

Ia membabitkan Sungai Nerus di stesen Kampung Bukit, Setiu direkodkan pada paras 11.9m dan Sungai Setiu di stesen Kampung Besut berada pada paras 16.68m.

Selain itu, Sungai Besut di stesen Kampung La, Besut, pula berada pada paras 20.13m, sementara Sungai Dungun di stesen Kampung Pasir Raja, Dungun, direkodkan pada paras 36m.

Dalam pada itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu melaporkan, Jalan Permaisuri/Hulu Seladang dekat Kampung Besut, Setiu ditutup kepada kenderaan ringan apabila laluan itu dinaiki air setinggi 0.4 meter sehingga 6 petang ini.

Ketua sekretariat berkenaan yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) negeri, Lef Kol (PA) Che Adam A Rahman, berkata Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) mengeluarkan amaran kuning atau waspada untuk kawasan Utara Terengganu iaitu Kuala Nerus, Setiu dan Besut bermula 27 hingga 30 November.

“Sejak semalam, berlaku hujan lebat tetapi tidak berpanjangan dan beberapa kawasan di Hulu Setiu mengalami paras kenaikan sungai.

“Sejak pagi tadi beberapa jalan dinaiki air dan hanya boleh dilalui kenderaan berat.

“Bagaimanapun, setakat petang ini hanya satu jalan ditutup pada kenderaan ringan dan kita jangka ia akan boleh dibuka semula tidak lama lagi kerana kurang hujan,” katanya.

Che Adam berkata, pihaknya kini giat memantau keadaan sekitar kawasan penempatan terutama berhampiran sungai dan berisiko banjir supaya langkah segera dapat diambil termasuk memindahkan penduduk sekiranya berlaku banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 November 2019 @ 8:08 PM