JUMATIAH menunjukkan laporan polis yang dibuat. Gambar kanan, kesan lebam teruk akibat dipukul bapa kandung. FOTO Ihsan pembaca
JUMATIAH menunjukkan laporan polis yang dibuat. Gambar kanan, kesan lebam teruk akibat dipukul bapa kandung. FOTO Ihsan pembaca
Kalidevi Mogan Kumarappa


Kuala Lumpur: Anak dipijak dan dipukul dengan penyodok pasir oleh bapa kandung hanya kerana membiarkan nasi yang dimasak hangus.

Kejadian itu didedahkan ibu kandung kepada kedua-dua mangsa, Jumatiah Jahud, 34, yang mendakwa anaknya itu dipukul teruk oleh suaminya yang tinggal di Kunak, Sabah termasuk dipaksa menjual sayur.

Wanita itu yang bekerja sebagai tukang cuci kedai berkata, dua daripada tiga anaknya itu dijaga oleh suaminya di Sabah sepanjang dia bekerja di ibu kota.

“Kejadian berlaku pada jam 6 petang, Sabtu lalu, apabila saya menerima mesej aplikasi WhatsApp daripada anak saudara yang menyaksikan anak saya dipukul di kediaman kami.

“Anak perempuan saya yang berusia 12 tahun dipukul seluruh tubuh badannya manakala anak lelaki berusia sembilan tahun dipukul dengan penyodok pasir sehingga lebam,” katanya.

Bimbang dengan keselamatan kedua-dua mangsa, anak saudaranya meminta kerjasama pihak sekolah membawa mangsa ke Balai Polis Daerah Kunak sebelum dirujuk kepada pihak perubatan untuk pemeriksaan.

Jumatiah mendakwa sudah menfailkan tuntutan cerai sejak tahun 2013 tetapi masih belum selesai kerana suaminya enggan hadir ke mahkamah menjatuhkan talak.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berkenaan bagaimanapun katanya kes itu dirujuk ke Kunak, Sabah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kunak, Superintendan Mohd Nasaruddin M Nasir mengesahkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 KK kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

“Saksi kejadian iaitu sepupu kepada kedua mangsa sudah diambil keterangan dan pihak perubatan mengesahkan terdapat kesan calar di pipi, lebam di paha kanan dan betis kiri akibat dipukul penyodok pasir,” katanya.

Jumatiah turut merayu bantuan orang ramai untuk menyelamatkan tiga anaknya dan dibawa ke Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2017 @ 6:02 AM