SEORANG pegawai kanan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Shamsul Adli Mohd Ali, didakwa atas empat pertuduhan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, kerana menerima suapan RM7,200, antara 2016 hingga 2017 lalu. FOTO Mohd Azren Jamaludin
SEORANG pegawai kanan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Shamsul Adli Mohd Ali, didakwa atas empat pertuduhan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, kerana menerima suapan RM7,200, antara 2016 hingga 2017 lalu. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Mary Victoria Dass


SEORANG pegawai kanan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini atas empat pertuduhan menerima suapan wang tunai berjumlah RM7,200, antara 1 Disember 2016 hingga 13 Jun 2017.

Tertuduh, Shamsul Adli Mohd Ali, 42, yang juga pegawai kawalan alam sekitar bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Faiz Dziyauddin.

Berdasarkan semua kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menerima untuk dirinya wang berjumlah RM7,200 di dalam akaun sebuah bank milik syarikatnya iaitu, Syarikat Mesra Sumber Global.

Wang itu tanpa balasan daripada seorang wanita berusia 42, yang dimasukkan menerusi akaun sebuah bank cawangan di Taman Universiti, Skudai, antara 1 Disember 2016 hingga 13 Jun 2017.

Tertuduh yang juga penjawat awam didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ikhwan Ihsan, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Mohd Fazaly Ali Mohd.

Terdahulu Ikhwan mencadangkan jaminan RM8,000 bagi setiap pertuduhan yang dihadapi tertuduh dengan nilai keseluruhan berjumlah RM32,000.

Mohd Fazaly bagaimanapun memohon suatu jaminan munasabah kepada anak guamnya atas faktor tertuduh warga tempatan yang memberi kerjasama penuh sejak siasatan dimulakan dua tahun lalu.

"Tertuduh ketua keluarga yang menyara dua orang anak, isteri dan ibu yang sudah dimamah usia.

"Malah tertuduh juga bersedia bagi melaporkan diri di mana-mana balai polis sekiranya mahkamah memerintahkan dia berbuat demikian selepas jaminan," katanya.

Mohd Fazaly menyatakan tertuduh hanya mampu menyediakan jaminan RM12,000 dan tidak mampu menanggung jaminan tinggi.

Faiz membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 bagi keempat-empat pertuduhan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 22 Disember depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 November 2019 @ 10:55 AM