Melaka: “Kalau potong, macam mana nak kencing.” Itu kata-kata spontan dari mulut Muhammad Adam Mohd Jasni, 6, peserta khatan beramai-ramai sebelum petugas perubatan berjaya memujuknya untuk berkhatan.

Muhammad Adam menyertai program khatan beramai-ramai bersama abangnya Muhammad Adib Adha, 8, ditemani bapanya ke ruangan berkhatan sebelum ‘drama’ hampir 15 minit berlangsung, meminta dirinya tidak diapa-apakan.

Menurut Muhammad Adib, sebelum masuk ke ruang menunggu, dia tidak berasa takut kerana ibu dan bapanya sudah memaklumkan tidak akan berasa sakit, tapi selepas mendengar teriakan adiknya membuatkan dia berdebar.

“Dia lebih berani daripada saya, jadi adik minta untuk sunat dulu, tapi lain pula jadinya.

“Mendengar dia menjerit sakit dan tak nak berkhatan, membuatkan saya turut takut,” katanya.

Ibunya, Suariawati Abu Hassan, 33, berkata, dia dan suami Mohd Jasni Suboh, 34, bersepakat untuk mengkhatankan dua anaknya serentak supaya dapat mengurangkan rasa takut dalam diri mereka.

“Ini pengalaman pertama saya dan suami, memang akui agak berdebar tetapi saya dan suami cuba memujuk mereka dengan memberitahu proses ini tidak sakit.

“Malah, mereka berdua turut membuat perjanjian dengan saya dan suami agar dibelikan basikal sebaik sihat nanti,” katanya ketika ditemui di Klinik Kesihatan Seri Tanjung, Kampung Gelam, di sini, semalam.

Berlainan pula dengan ragam Mohd Farish Haqimi Azman, 9, apabila terpaksa didukung ayahnya untuk naik ke atas katil apabila dia enggan berbuat demikian.

Sebaik dibaringkan, dia sempat meminta agar ayahnya Azman Zainal, 50, memberikan telefon bimbit berserta kata laluan agar dapat bermain permainan aksi di telefon pintar.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Pembangunan Sukan negeri Datuk Ab Rahaman Ab Karim berkata, Majlis Berkhatan Beramai-ramai 2016 itu, kali ke-12 dianjurkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor.

Katanya, tahun ini, 120 peserta yang terdiri daripada kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun mengambil bahagian.

“Ini adalah program tahunan di DUN ini, ia secara tidak langsung meringankan kos ibu bapa kerana mereka hanya perlu membayar RM15 saja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2016 @ 10:20 AM
PESERTA khatan disiram air menggunakan jentera bomba.
PESERTA khatan disiram air menggunakan jentera bomba.