Laporan portal Harian Metro sebelum ini.
Laporan portal Harian Metro sebelum ini.
Ramli Ibrahim


“ALHAMDULILLAH, rezeki kami semakin melimpah hasil sumbangan daripada orang ramai,” kata Mohamad Syahadam Abdul Talib Mohd Kasim, 19, di Kampung Mentara Lama, dekat Gua Musang.

Menurutnya, dia tidak putus menerima panggilan telefon dan dikunjungi orang ramai untuk menghulur sumbangan.

“Saya bersyukur sejak berita mengenai kehidupan kami dipaparkan di akhbar, pelbagai bantuan diperoleh.

“Bukan sahaja bantuan kewangan, malah barangan keperluan disumbangkan banyak pihak untuk meneruskan kelangsungan hidup menyara dua adik yang masih bersekolah.

“Saya amat terharu dengan sumbangan ini dan hanya tuhan yang dapat membalasnya,” katanya.

Mohamad Syahadam adalah abang tiri kepada dua beradik yatim piatu, Siti Noraini Ahmad, 14 dan Siti Norasniza, 9, hidup dalam kedaifan sebelum ini dan tinggal di rumah pusaka ibu bapa mereka di kampung itu tanpa bekalan elektrik dan air bersih.

Harian Metro sebelum ini melaporkan mereka terpaksa menggunakan air parit untuk kegunaan harian.

Mohamad Syahadam terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga selepas ibu dan bapa tirinya meninggal dunia baru-baru ini.

Menurutnya, sehingga kini dia masih belum mampu menyediakan wang mencukupi untuk menyediakan keperluan bekalan air dan elektrik ke rumahnya yang memerlukan perbelanjaan besar.

“Kedudukan rumah agak terpencil memerlukan kos tinggi bagi mendapatkan kemudahan asas itu.

“Bayangkan, sekurang-kurangnya 10 tiang elektrik diperlukan untuk menyalurkan kemudahan bekalan elektrik ke rumah kami.

“Begitu juga bagi keperluan air bersih yang memerlukan perbelanjaan besar,” katanya.

Berita berkaitan

Mereka tetap adik saya

Ranjau tiga beradik

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 12:13 PM