MOHAMAD Syahadam bersama dua adik perempuannya di depan rumah mereka. FOTO Ramli Ibrahim.
MOHAMAD Syahadam bersama dua adik perempuannya di depan rumah mereka. FOTO Ramli Ibrahim.
Ramli Ibrahim


STATUS sebagai abang tiri tidak menyebabkan seorang remaja lelaki di Gua Musang mengabaikan tanggungjawab terhadap dua adik perempuannya, selepas mereka kematian ibu bapa.

Malah, Mohamad Syahadam Abdul Talib Mohd Kasim, 19, kini menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga meskipun ketiga-tiga mereka hidup dalam serba kekurangan,

Remaja itu berkata, walaupun dia hanya abang tiri tetapi kedua-duanya, Siti Noraini Ahmad, 14, dan Siti Norasniza, 9, sudah dianggap seperti adik kandung sendiri.

Katanya, ini kerana mereka membesar bersama-sama.

“Sebelum ini setiap hari, saya yang menghantar dan mengambil adik di sekolah, tetapi kini Siti Noraini sudah tinggal di asrama.

“Saya terharu apabila kedaifan hidup kami tiga beradik mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk sudah ada yang memberi sumbangan,” katanya.

Akhbar hari ini melaporkan kisah tiga beradik itu yang hidup daif di Kampung Mentara Lama di Gua Musang,

Mereka hidup dalam serba kekurangan selepas kematian bapa, Ahmad Yaacob, 48, enam bulan lalu kerana sakit jantung.

Ia disusuli ibu, Rubiah Zakaria, 38, yang meninggal dunia tiga bulan lalu kerana kencing manis.

Lebih menyedihkan, tiga beradik itu bukan sahaja tinggal di rumah yang tingkapnya ditutup dengan zink, malah terpaksa menggunakan air parit untuk kegunaan harian.

Mohamad Syahadam hanya bekerja sebagai buruh ladang sawit dan hanya memperoleh pendapatan RM700 sebulan.

Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan boleh menghubungi talian 014-7957784 atau akaun Bank Simpanan Nasional, 1012 1410 0006 1514 atas nama Mohamad Syahadam Abdul Talib Mohd Kasim.

Sementara itu, nasib tiga beradik itu mendapat perhatian pelbagai pihak selepas kisah mereka disiarkan Harian Metro.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, pihaknya akan berbincang dengan pelbagai pihak termasuk agensi berkaitan bagi membolehkan tiga beradik itu dapat tinggal di rumah yang lebih selesa.

“Ini rumah pusaka kedua ibu bapa mereka dibina di kawasan tanah rizab Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan sukar untuk menyediakan kemudahan yang diperlukan.

“Malah, kedudukan rumah itu juga jauh daripada jiran lain jika ingin mendapatkan bekalan elektrik. Begitu juga air paip menyebabkan tiga beradik itu terpaksa menggunakan air parit sebagai keperluan harian,” katanya ketika melawat rumah tiga beradik itu, hari ini.

Berita berkaitan

Ranjau tiga beradik

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 12:56 PM