Nor Azura Abdul Jalil


PEMBANTU pengurus jualan hotel dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menghantar komen jelik mengenai pihak polis di laman Facebook miliknya, Jun lalu.

Christopher Khor Chee Ning, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik saja pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Syed Faisal Syed Amir.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan Facebook secara sedar, mewujudkan dan memulakan penghantaran komen yang jelik di laman sosial miliknya itu dengan niat menyakitkan hati orang lain.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di rumah di Taman Petaling Utama, Petaling Jaya pada 7.11 pagi, 10 Jun lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Amira Sariaty Zainal menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 November ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2017 @ 3:44 PM