Anggota bomba mencari lelaki dipercayai terjatuh sungai Kampung Maka Joh semalam. FOTO Fathil Asri
Anggota bomba mencari lelaki dipercayai terjatuh sungai Kampung Maka Joh semalam. FOTO Fathil Asri
Hazira Ahmad Zaidi


LELAKI dikhuatiri lemas selepas terjatuh sungai Kampung Maka Joh, Labok Machang, Kota Bharu semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Machang, Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, mangsa berusia 35 tahun dikatakan keluar dari rumahnya pagi semalam dan selepas itu tidak pulang ke rumah.

“Bimbang dengan keadaan itu, penduduk kampung membuat laporan dan menghubungi balai bomba 9.30 malam tadi selepas usaha mencari mangsa menemui jalan buntu.

“Selepas laporan diterima, beberapa anggota ke lokasi mangsa dikatakan pergi ke jeti berhampiran.

“Kita menemubual beberapa penduduk kampung mengenai kehilangan mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan 8 pagi tadi membabitkan 10 anggota dari BBP Machang dan empat anggota dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Kota Bharu.

“Bagaimanapun, usaha mencari mangsa mengalami kesukaran disebabkan arus sungai deras.

“Operasi SAR dilakukan dengan menggunakan teknik selaman dan carian di permukaan pada jarak satu kilometer dari tempat mangsa dipercayai terjatuh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 2:46 PM