Keadaan mangsa yang terbaring kesakitan atas jalan sejurus dipukul suspek.
Keadaan mangsa yang terbaring kesakitan atas jalan sejurus dipukul suspek.
Oleh Erika George


SEORANG lelaki parah dipukul suami bekas teman wanitanya dalam kejadian di Kampung Sinong, Bintulu malam tadi.

Difahamkan kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, mangsa berusia 26 tahun itu ditemukan anggota polis yang melakukan rondaan cegah jenayah dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zulkipli Suhaili berkata, siasatan awal mendapati mangsa berselisih faham dengan suspek yang juga rakan yang dikenalinya sejak 10 tahun lalu.

Katanya, suspek tidak berpuas hati apabila mengetahui isterinya yang juga bekas teman wanita mangsa mengadu hal rumah tangga.

"Wanita itu dikatakan mengadu kepada mangsa dia sering dipukul oleh suaminya menyebabkan suspek berang dan membelasah mangsa hingga cedera parah," katanya.

Katanya, mangsa dibawa ke Hospital Bintulu dengan ambulans untuk rawatan dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Zulkipli berkata, sehubungan itu polis sedang menjejaki suspek yang dikenali sebagai Baki berusia 30 tahun apabila lelaki itu menghilangkan diri.

Katanya, saksi atau orang ramai yang melihat kejadian itu diminta menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan dengan menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu, Sarjan Mohd Adam di talian 016-873 1814.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun serta denda dan sebatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2020 @ 6:02 PM