Mohd Azuan (kiri) dan Sharifah Faridahtul Atrosh menerima sijil penghargaan sebagai Warga Harapan hari ini. FOTO Ghazali Kori
Mohd Azuan (kiri) dan Sharifah Faridahtul Atrosh menerima sijil penghargaan sebagai Warga Harapan hari ini. FOTO Ghazali Kori
Hanneeyzah Bariah Baharin


“WALAUPUN ramai beranggapan pesakit mental seperti kami berbahaya, hakikatnya kami juga boleh melalui kehidupan normal seperti orang lain.

“Apa yang penting, kita jangan tinggal solat dan amalkan zikir harian, makan ubat mengikut waktu dan banyak bergaul dengan orang sekeliling,” kata Mohd Azuan Mat Yusoff, 34.

Mohd Azuan adalah antara pesakit psikiatri di Terengganu yang menerima sijil penghargaan sebagai Warga Harapan sempena Hari Kesihatan Mental, Diabetis dan Jantung Sedunia peringkat negeri di Marang hari ini kerana berdisiplin dan berjaya mengawal penyakitnya.

Dia yang bekerja sebagai operator di kilang papan di Kuala Berang, Hulu Terengganu berkata, sejak disahkan menghidap penyakit itu 13 tahun lalu, dia tidak pernah culas ke hospital untuk rawatan susulan sehingga hari ini.

Dia yang berasal dari Kampung Bukit Perpat, Hulu Terengganu berkata, penyakitnya bermula apabila dia kerap mengalami tekanan kerana suka memendam masalah selain berdepan masalah keluarga ketika itu.

“Pesakit mental memerlukan sokongan keluarga yang kuat. Alhamdulillah, keluarga saya banyak memberi dorongan dan menjadi penguat semangat untuk saya kembali sihat.

“Siapa yang kata pesakit mental tak boleh sembuh itu adalah silap.

“Alhamdulillah saya kini sudah bekerja sejak lapan tahun lalu dan dapat menjalankan tanggungjawab seperti adik beradik lain dalam membantu menyara keluarga selepas bapa meninggal dunia pada 2014 kerana sakit jantung,” katanya.

Seorang lagi pesakit yang menerima sijil sama, Sharifah Faridahtul Atrosh Syed Abdullah, 37, berkata, pesakit mental perlu mengamalkan disiplin kuat dalam rawatan untuk memulihkan diri selain sentiasa menjaga dan mentaati suruhan agama.

“Kunci utama untuk kita memulihkan diri daripada gangguan mental ialah dengan melaksanakan perintah Allah, terutama solat dan zikir.

“Saya sendiri tidak putus berzikir dan saya nampak perubahan dalam diri apabila mengamalkannya.

“Jika dulu saya tidak boleh dimarahi kerana tertekan sehingga menyebabkan penyakit bertambah teruk, kini saya berjaya mengawal semua itu.

“Selepas disahkan menghidap penyakit ini sejak 2011, saya mula mendapatkan rawatan dan hari ini saya tidak sangka disiplin mematuhi jadual rawatan penyakit membolehkan saya menerima sijil penghargaan,” katanya yang kini bekerja di kedai makan di Kemaman.

Menurutnya, penyakit mentalnya agak serius sebelum ini sehingga dia kerap mendapat gangguan suara yang menyuruhnya melakukan perkara merosakkan diri tetapi berkat kesabaran menjalani rawatan di Hospital Kemaman, dia berjaya pulih daripada penyakit itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 November 2019 @ 7:35 PM