Muhammad Saufi Hassan dan Nur’asyikin Mat Hayin


Kuala Lumpur: "Saya umpama hilang identiti diri dan bertukar menjadi seorang yang pendiam serta mudah marah, walaupun kesilapan dilakukan anak adalah kesalahan kecil," kata wanita mahu dikenali sebagai Linda.

Linda (bukan nama sebenar), 47, menghidap penyakit gangguan bipolar tahap dua sejak 2020.

Katanya, perubahan emosinya tidak boleh dijangka yang adakalanya menangis sehingga bengkak mata jika berasa sedih.

"Pada mulanya saya tidak sedar mengalami masalah bipolar, tetapi perubahan diri disedari oleh ahli keluarga.

"Sebelum mendapatkan rawatan, anak mengatakan saya seorang yang sangat  garang. Ia berbeza dengan diri saya sebelum ini.

"Masalah bipolar saya kini terkawal selepas mendapatkan rawatan dan hanya bergantung satu daripada empat biji ubat setiap hari," katanya.

Menurutnya, masalah bipolar ini berpunca daripada masalah gangguan kebimbangan (anxiety) dialaminya sejak kecil.

"Namun, gangguan kebimbangan bertambah teruk selepas terbabit dalam kemalangan langgar lari pada 2018.

"Motosikal yang saya tunggang dilanggar sebuah kenderaan. Akibatnya, tulang muka saya patah.

"Saya sangat sedih dan tidak dapat menerima keadaan wajah yang sudah berubah menjadi senget akibat kecederaan itu," katanya.

Katanya, anak keduanya berusia 15 tahun juga berdepan gangguan kebimbangan (anxiety) kronik.

"Penyakit dihidapi anak membuatkan saya tersedar untuk berubah dan kembali sihat bagi memulihkan kesihatan anak.

"Keinginan saya untuk pulih juga tinggi kerana sebagai ibu tunggal mahu menjaga anak serta melihatnya berjaya dalam pelajaran.

"Saya hendak membuktikan bahawa pesakit bipolar boleh menjaga dan mendidik anak hingga berjaya.

"Saya juga mahu masyarakat mengubah stigma yang seolah melabel pesakit psikiatri sebagai gila," katanya.

29 peratus rakyat ada masalah mental

Dianggarkan lebih 29 peratus rakyat negara ini mengalami masalah kesihatan mental berpunca daripada pelbagai faktor seperti masalah rumah tangga serta tekanan kewangan.

Masalah kesihatan mental secara serius selalunya adalah sakit sepanjang hayat dan memerlukan rawatan secara berterusan.

Walaupun peratusan itu adalah data berkaitan kesihatan mental yang dibuat beberapa tahun lalu dan tiada kajian khusus melihat setiap jenis penyakit mental, namun ia boleh dijadikan petunjuk berhubung penyakit ini.

Berdasarkan kajian dilaksanakan Regus Research pada 2016, sebanyak 70 peratus pekerja di negara ini menghadapi masalah berkaitan tekanan di tempat kerja dan ini berpunca daripada ketidaktentuan ekonomi global.

Masalah kesihatan mental ini juga sukar untuk dikesan dengan hanya melihat kepada fizikal seseorang kerana ia membabitkan emosi.

Terdapat beberapa kes yang berlaku di negara ini membabitkan individu berkaitan berdepan masalah kesihatan mental tanpa diketahui oleh ahli keluarga.

Segelintir pesakit ini berpotensi untuk bertindak di luar kotak kewarasan, contohnya sehingga ada yang membunuh orang tersayang.

Ada kes seperti ini yang berkaitan dengan penyakit mental yang serius.

Pakar Perunding Kanan Psikiatri Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari berkata, anggaran kelaziman secara amnya adalah, lapan hingga 10 peratus daripada rakyat negara ini menghadapi gangguan kemurungan atau 'major depression'.

Menurut Muhammad Muhsin, penyakit schizophrenia dan bipolar masing-masing mewakili satu peratus yang memerlukan rawatan khusus, dan ada banyak lagi jenis penyakit mental yang diketahui.

"Daripada peratusan besar penyakit mental ini, hanya lima peratus penghidap yang mendapatkan rawatan secara rutin.

"Antara punca masalah gangguan mental ini adalah mengalami pengalaman yang janggal seperti mendengar suara ghaib atau melihat sesuatu yang luar biasa, ia juga boleh dikaitkan dengan gejala awal.

"Rasa terancam dan keresahan yang berlebihan boleh juga menjadi gejala selain gangguan tidur kerap berkait dengan penyakit mental," katanya kepada Metro Ahad, semalam.

Muhammad Muhsin berkata, ada penyakit mental seperti kemurungan yang mungkin boleh sembuh.

Bagaimanapun, menurutnya, sebahagian besar penyakit mental bersifat seumur hidup bermakna penghidap perlu mendapatkan rawatan secara berterusan.

"Rawatan awal adalah penting bagi membolehkan pesakit terus dapat kualiti hidup yang baik dan kekal sihat mentalnya.

"Setiap penyakit mental ada kaedah rawatan iaitu melalui talk therapy dan pengambilan ubat-ubatan.

"Punca masalah mental ini terbahagi kepada dua iaitu persekitaran, genetik atau keturunan," katanya.

Beliau berkata, persekitaran seseorang mempengaruhi status mental seseorang dan ini termasuklah masalah 'interpersonal', masalah tempat kerja, masalah rumah tangga, masalah kewangan, pengambilan dadah, pengalaman trauma dan banyak lagi.

Katanya, tekanan yang berat dan berterusan boleh meningkatkan risiko seseorang untuk mendapat penyakit mental selain faktor keturunan atau genetik juga boleh meningkatkan risiko seseorang mendapat masalah mental.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2023 @ 12:00 PM