Rizanizam Abdul Hamid


DUA anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Kubu terpaksa dikejarkan ke hospital selepas cedera ketika operasi memadam kebakaran yang memusnahkan tiga rumah kedai tiga tingkat di Jalan Munshi Abdullah di Melaka, malam tadi.

Insiden pertama berlaku kira-kira 10 malam apabila seorang anggota bomba berusia 30-an mengalami kecederaan di bahagian belakang badan selepas terkena letupan kaca ketika sedang memadam kebakaran di dalam kedai sebelum sempat keluar dan diberikan rawatan kecemasan di lokasi.

Kira-kira satu jam kemudian, seorang lagi anggota bomba mengalami komplikasi pernafasan ketika memadam kebakaran dalam asap tebal sehingga terpaksa dipapah menuju ke ambulans Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bomba yang berada dilokasi untuk rawatan awal.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Ahmad Zaidi Safuan berkata, kedua-dua anggota bomba daripada BBP Jalan Kubu yang dirawat sebagai pesakit luar Hospital Melaka bagaimanapun kembali ke lokasi kebakaran selepas menerima rawatan.

“BBP Jalan Kubu menerima kebakaran pada 8.47 malam dan sebaik tiba mendapati api sedang marak di bahagian kedai elektrik di dalam rumah kedai tiga tingkat itu menyebabkan dua kedai lain di kiri dan kanannya turut terjejas.

“Difahamkan, api bermula di lot tengah kedai yang juga kedai elektrik sebelum merebak pintu sebelah kiri yang juga kedai elektrik sama dan kanan iaitu sebuah pusat karaoke,” katanya ketika ditemui media di lokasi malam tadi.

Anggota BBP Jalan Kubu memberikan rawatan awal anggota yang dipercayai mengalami sesak nafas. FOTO Rasul Azli Samad
Anggota BBP Jalan Kubu memberikan rawatan awal anggota yang dipercayai mengalami sesak nafas. FOTO Rasul Azli Samad

Katanya, operasi membabitkan lapan pegawai dan 40 anggotadiketuai Ketua BBP Jalan Kubu Timbalan Penguasa Bomba Kamarulzaman

Mohd Din menggunakan lapan buah jentera termasuk tiga dua unit ambulans EMRS.

Ahmad Zaidi berkata, operasi memadam kebakaran berdepan kesukaran kerana premis kedai elektrik dikunci menggunakan 10 mangga kunci dan terpaksa menggunakan mesin pemotong besi masuk bagi memadam kebakaran.

“Sebab itu kita mengambil masa yang lama namun api dapat dikawal pada 11.20 malam dan operasi tamat 2.31 pagi. Keseluruhannya, dua buah kedai tiga tingkat musnah sepenuhnya manakala sebuah lagi 90 peratus musnah kerana tingkat yang dapat diselamatkan

“Punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 November 2019 @ 1:06 PM