Pembida mengangkat kad nombor bidaan pada program Lelongan Awam Kenderaan Klon JPJ Selangor. FOTO Roslin Mat Tahir
Pembida mengangkat kad nombor bidaan pada program Lelongan Awam Kenderaan Klon JPJ Selangor. FOTO Roslin Mat Tahir
Nur Lela Zulkipli


“SAYA memang minat Mercedes-Benz dan kini saya berjaya menambah dua model lagi dalam koleksi saya,”.

Itu kata ahli perniagaan, Akmal Amin, 34, yang berjaya membida dua kereta Mercedes-Benz model SL350 dan SL500 masing-masing berharga RM50,000 dan RM36,000.

“Saya memang mensasarkan kedua-dua kereta ini untuk ditambah dalam koleksi sebelum siri lelongan ini bermula. Alhamdullilah urusan saya dipermudahkan.

“Sehingga kini saya ada tiga koleksi Mercedes-Benz dan InsyaAllah jika ada rezeki saya akan beli model yang sukar didapati,” katanya.

Akmal ditemui pada program Lelongan Awam Kenderaan Klon Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor di Dewan Teratai MBSA Seksyen 19, Shah Alam hari ini.

Turut hadir dalam program itu Pengarah JPJ Selangor, Nazli Md Taib.

Menurut Akmal, dia meminati sejarah dan rekaan dalaman kedua-dua model kereta yang dibida itu malah dia memperuntukkan RM170,000 bagi membaiki kedua-dua kereta berkenaan.

“Saya bimbang keadaan kereta yang dibida ini memerlukan kerja pembaikan serius kerana saya merancang menggunakannya.

“Namun saya terpaksa mengeluarkan simpanan saya supaya kedua-dua kereta ini boleh digunakan dalam keadaan baik kerana peluang untuk memiliki kereta ini tidak mudah.

“Saya akan ikuti lagi siri lelongan lain jika ada model Mercedes Benz kerana harga yang ditawarkan lebih murah berbanding kereta baru,” katanya.

Sementara itu, Nazli berkata, pihaknya memperoleh RM4.03 juta hasil jualan lelongan kereta klon yang dianjurkan sejak semalam.

“Kita peroleh lebih 400 penyertaan daripada orang awam yang berminat untuk membida kereta idaman mereka.

“Malah kita hanya sasar hasil lelongan RM4 juta dan ini membuktikan orang ramai masih berminat untuk mendapat kereta lelong berikutan harga yang ditawarkan jauh lebih rendah dan mampu dimiliki,” katanya.

JPJ Selangor buat pertama kali melelong 246 kereta mewah klon antaranya jenis Jaguar, BMW, Mercedes-Benz, Audi, Volkswagen dan Mini Cooper pada harga permulaan RM1,000 sejak semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Oktober 2019 @ 5:16 PM