RAINE (kiri) melihat model lama Mercedes-Benz selepas merasmikan Pusat Pameran dan Jualan serta Servis Asbenz Motors.
RAINE (kiri) melihat model lama Mercedes-Benz selepas merasmikan Pusat Pameran dan Jualan serta Servis Asbenz Motors.
Omar Osman

Sungai Petani: Asbenz Motors Sungai Petani (Asbenz Motors) menyasarkan untuk menjual lebih 300 kereta Mercedes-Benz pelbagai model tahun depan berdasarkan peningkatan jualan memberangsangkan yang dicapai syarikat itu tahun ini.

Beroperasi sejak 2004 di Kawasan Industri Ringan, Bakar Arang di sini, syarikat itu adalah satu-satunya pengedar kereta Mercedes-Benz dan menjadi tumpuan peminat kereta mewah itu di sekitar utara dan selatan Kedah.

Pengarah Urusannya, Goh Chuan Kiong berkata, syarikat itu merekodkan jualan amat memberangsangkan tahun ini apabila berjaya menjual 250 unit pelbagai model setakat ini berbanding 203 unit pada 2015.

Katanya, beliau yakin mencapai sasaran jualan 300 unit kereta tahun depan ekoran kehadiran beberapa model terbaru yang mula memasuki pasaran sejak bulan lalu serta model sedia ada dijangka menarik lebih ramai peminat kereta mewah itu.

“Bagi meningkatkan prestasi syarikat dalam urusan pameran, penjualan dan perkhidmatan selepas jualan, syarikat turut menaik taraf pusat pameran dan jualan serta pusat servis sedia ada agar memenuhi permintaan pelangan yang semakin meningkat.

“Kini ruang pameran Asbenz Motor mampu menempatkan empat kereta dalam satu masa dan melakukan penyelenggaraan 200 kereta dalam sebulan berbanding 100 unit sebelum ini,” katanya selepas perasmian Pusat Pameran dan Jualan serta Servis Asbenz Motors oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Mercedes-Benz Malaysia (MBM), Dr Claus Weidner di Bakar Arang, kelmarin.

Hadir sama, Naib Presiden, Jualan dan Pemasaran Mercedes-Benz Malaysia, Mark Raine.

Sementara itu, Dr Claus berkata, MBM melabur RM32 juta bagi meningkatkan kemudahan dan fasiliti di Pusat Pameran, Jualan dan Servis di Wilayah Utara dalam usaha syarkat mengekalkan kepuasan pelanggan.

Beliau berkata, usaha menaik taraf pusat pameran dan jualan Asbenz Motors selari dengan permintaan baik bagi kereta Mercedes-Benz sepanjang tahun ini di Malaysia dan juga seluruh dunia serta berharap prestasi itu terus meningkat pada 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2016 @ 7:10 AM