ARAK yang dirampas PPM Wilayah Dua Johor. FOTO Ihsan PPM.
ARAK yang dirampas PPM Wilayah Dua Johor. FOTO Ihsan PPM.
Izlaily Nurul Ain Hussein


SINDIKET penyeludupan minuman keras di Johor Bahru, licik berpindah-randah dari satu premis ke premis lain semata-mata mengelak dikesan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, kegiatan tiga bulan itu tetap berjaya dibongkar selepas premis dijadikan stor di Taman Teratai, Kangkar Pulai, Johor Bahru diserbu Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor, semalam.

Serbuan 1.30 tengah hari itu membolehkan seorang lelaki ditahan dan 221 kotak minuman keras pelbagai jenama dirampas, dipercayai diseludup dari negara jiran dengan tercetak setem ‘Malaysia Duty Not Paid’.

Pemangku Komander PPM Wilayah Dua Johor, Superintendan Noor Azman Jamal berkata, lelaki tempatan berusia 41 tahun itu ditahan ketika berada di dalam premis semasa serbuan.

“Premis terbabit dipercayai dijadikan stor penyimpanan sementara bagi semua arak berkenaan sebelum ia dijual di pasaran tempatan.

“Siasatan awal mendapati, premis dijadikan stor minuman keras itu tidak tetap, sebaliknya penyeludup akan berpindah-pindah bagi mengelak dihidu pihak berkuasa.

“Kita percaya mereka sudah beroperasi sejak tiga bulan yang lalu,” katanya hari ini.

Noor Azman berkata, secara keseluruhan, terdapat 1,438 botol dan 4,200 tin minuman keras pelbagai jenama dengan nilai rampasan berjumlah RM446,696.

“Siasatan lanjut bagi mengesan ketua sindiket dan sumber minuman itu diperoleh,” katanya.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan pihaknya akan terus komited melaksana operasi bagi membanteras penyeludupan.

Untuk itu beliau meminta masyarakat untuk membantu menyalur maklumat kepada pihaknya di talian 07-2372221 atau 2372222.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Oktober 2019 @ 8:29 PM