KAKITANGAN Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan anggota APMM mengangkat barangan ke kapal Maritim di jeti APMM dalam majlis  Program Penghantaran Barang Keperluan Banjir Ke Pengkalan Hadapan Pulau Redang. FOTO Imran Makhzan
KAKITANGAN Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan anggota APMM mengangkat barangan ke kapal Maritim di jeti APMM dalam majlis Program Penghantaran Barang Keperluan Banjir Ke Pengkalan Hadapan Pulau Redang. FOTO Imran Makhzan
Mohd Aizat Shamsuddin


SEBANYAK 33.8 tan stok bekalan makanan untuk menampung keperluan mangsa banjir di Terengganu sudah diagihkan ke 152 pangkalan hadapan di seluruh negeri.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu, Zuhami Omar berkata, 15 jenis barangan makanan yang disediakan termasuk beras, makanan dalam tin seperti sardin dan kari ayam, minyak masak, gula dan air mineral untuk mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS).

Beliau berkata, JKM menerima peruntukan RM1.4 juta untuk tujuan itu termasuk bagi menyediakan keperluan asas lain untuk mangsa banjir di PPS.

“Kita sudah mengagihkan bantuan makanan dan keperluan ini ke pangkalan hadapan sejak pertengahan Oktober lagi.

“Bekalan yang disediakan ini mencukupi untuk menampung keperluan antara tiga hingga tujuh hari bergantung kepada situasi banjir yang melanda setiap kawasan terjejas,” katanya.

Beliau ditemui ketika urusan penghantaran barang makanan dan keperluan banjir ke pangkalan hadapan Pulau Redang di Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu, di Kuala Terengganu, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli.

Zuhami berkata, sekiranya situasi banjir di luar jangkaan melanda Terengganu kali ini, pihaknya yakin bantuan bekalan makanan mencukupi berdasarkan mesyuarat penyelarasan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan syarikat pembekal utama.

“Kita sudah mengenalpasti setiap pembekal utama termasuk di setiap daerah. Sekiranya banjir berlaku melebihi tempoh, bekalan boleh diperoleh di kawasan terdekat lain,” katanya.

Mengulas mengenai bantuan ke pangkalan hadapan di Pulau Redang, Zuhami berkat,a sebanyak 3.8 tan makanan disalurkan ke pulau terbabit.

Katanya juga, bekalan terbabit mampu menampung keperluan 2,000 penduduk di pulau itu yang terputus hubungan sepanjang musim tengkujuh.

“Sekiranya bekalan tidak mencukupi, kita akan mendapatkan bantuan daripada Maritim Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk membolehkan bantuan tambahan dihantar ke Pulau Redang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Oktober 2019 @ 2:35 PM