PENUNGGANG motosikal maut digilis lori. FOTO Ihsan PDRM
PENUNGGANG motosikal maut digilis lori. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


PENUNGGANG motosikal maut digilis lori di Kilometer 12 Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di Gombak, hari ini.

Difahamkan, motosikal yang ditunggangi Che Ahmad Khairi Che Awang, 24, sebelum itu bergesel dengan sebuah kereta kemudian terbabas.

Lori yang melalui laluan itu tidak sempat mengelak lalu merempuh motosikal dan menggilis mangsa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Arshad Kamaruddin berkata, kejadian berlaku 4.25 petang itu ketika mangsa yang menunggang motosikal Yamaha LC135 dalam perjalanan dari arah Batu Caves menghala ke Gombak.

Beliau berkata, mangsa gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas di lorong tengah dan digilis lori dipandu lelaki berusia 57 tahun dari arah sama.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayat dibawa ke Hospital Selayang untuk bedah siasat.

“Lokasi kejadian tidak memiliki rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan siasatan mendapati mangsa tidak memiliki lesen memandu.

“Saksi yang melihat kejadian itu dan pemilik kereta terbabit diminta tampil menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Zharif Zakaria di talian 013-2969222 bagi membantu siasatan,” katanya.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Oktober 2019 @ 8:05 PM