Lokasi kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di Kilometer 445 Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke utara sebelum susur Plaza Tol Rawang hari ini. Foto Ihsan Pembaca
Lokasi kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di Kilometer 445 Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke utara sebelum susur Plaza Tol Rawang hari ini. Foto Ihsan Pembaca
Muhaamad Hafis Nawawi

Gombak: Tujuh kenderaan terbabit dalam kemalangan di Kilometer 445 Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke utara sebelum susur Plaza Tol Rawang dekat sini, selepas sebuah treler hilang kawalan hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kemalangan pada 4.50 petang dipercayai berlaku ketika treler yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Rawang.

Menurutnya, apabila sampai di tempat kejadian, treler itu dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas lalu terlanggar beberapa buah kenderaan yang berada di lorong yang sama.

"Kemalangan itu menyebabkan beberapa buah kenderaan mengalami kerosakan teruk, manakala pemandu dan penumpang mengalami kecederaan luka.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arifai berkata, orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu diminta tampil membantu siasatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor ZharifZakaria di talian 013-2969222 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 April 2021 @ 10:42 PM