MUHAMMAD Shafee (kiri) mengetuai pasukan pembelaan Najib. FOTO Arkib NSTP.
MUHAMMAD Shafee (kiri) mengetuai pasukan pembelaan Najib. FOTO Arkib NSTP.
BERNAMA

MAHKAMAH Tinggi akan mendengar penghujahan dalam kes berprofil tinggi bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang menghadapi tujuh pertuduhan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mendengar perbicaraan kes itu, menetapkan selama dua hari bermula esok untuk pihak pembela dan pendakwaan mengemukakan hujah masing-masing.

Prosiding akan bermula dengan pihak pembela terlebih dahulu mengemukakan hujah untuk mematahkan penghujahan pihak pendakwaan.

Difahamkan bahawa seorang lagi peguam mewakili Najib iaitu Harvinderjit Singh akan berhujah dan diikuti oleh Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas yang akan mengemukakan hujah balas.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengetuai pihak pembelaan.

Pada 27 Ogos, pihak pendakwaan telah menggulung kesnya selepas perbicaraan selama 58 hari dengan 57 saksi memberi keterangan.

Hakim Mohd Nazlan sebelum ini menetapkan 11 Nov untuk membuat keputusan sama ada memanggil Najib untuk membela diri atau membebaskannya daripada pertuduhan.

Hakim juga menetapkan 3 hingga 4 Disember, 9 hingga 12 Disember dan 16 hingga 19 Disember untuk Najib membela diri jika mahkamah mendapati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Najib, 66, yang juga Ahli Parlimen Pekan, pertama kali dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pada 4 Julai 2018, untuk menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) dan satu pertuduhan salah guna kuasa berhubung dana SRC berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos, bekas perdana menteri itu sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama. Kes itu kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Najib didakwa melakukan kesemua kesalahan itu antara 17 Ogos 2011 dan 10 Februari 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 8:01 PM