NAJIB ketika hadir di mahkamah, hari ini.
NAJIB ketika hadir di mahkamah, hari ini.
Murni Wan Omar dan Muhaamad Hafis Nawawi


MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur akan mendengar hujahan pasukan pembelaan untuk menangguhkan rayuan bagi meringankan hukuman Datuk Seri Razak yang didapati bersalah atas

tujuh pertuduhan membabitkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, petang ini.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan sedemikian selepas kedua-dua pihak berhujah mengenai perkara itu, pada prosiding sebelah pagi.

Terdahulu, pihak pembelaan memohon mahkamah supaya menangguhkan rayuan bagi meringankan hukuman kepada Isnin depan.

Bagaimanapun, ia dibantah oleh pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Datuk V Sithambaram.

Mohd Nazlan kemudian meminta pihak pembelaan mengemukakan alasan yang lebih kukuh untuk beliau menangguhkan mitigasi sebelum hukuman dijatuhkan.

"Saya tidak yakin dengan hujahan ini," katanya kepada pihak pembelaan.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi mensabitkan bekas Najib bersalah atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Najib didapati bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa membabitkan dana SRC, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kini diletak di bawah Kementerian Kewangan.

Najib boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.

Najib, perdana menteri keenam dari 2009 hingga 2018, menjadi ketua negara pertama di Malaysia yang diheret ke mahkamah.

Perbicaraan bermula pada 3 April 2019 dengan pendakwaan memanggil 57 saksi sebelum menutup kesnya pada 27 Ogos tahun sama.

Pada 11 November 2019, Najib diarahkan membela diri atas kesemua pertuduhan selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Pada 3 Disember 2019, Najib memberi keterangan sebagai saksi pertama pembelaan untuk menjawab pertuduhan terhadapnya dengan membaca penyataan saksi setebal 243 muka surat.

Pada 5 Jun lalu, mahkamah menetapkan hari ini untuk mengumumkan keputusan dalam kes itu selepas mendengar hujah kedua-dua pihak di akhir kes pembelaan yang bermula pada 1 Jun.

Berita Berkaitan

  • Kes SRC: Najib bersalah!
  • Warganet risau wujud kluster Najib
  • Kronologi kes SRC
  • Najib tiba di mahkamah
  • Kes SRC: Hanya 10 media dibenar masuk mahkamah>
  • Kes SRC: Ratusan penyokong hadir ke mahkamah
  • Nasib Najib ditentukan 10 pagi ini
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2020 @ 1:13 PM