ANTARA kereta yang terbabit dalam kemalangan. FOTO ihsan Polis
ANTARA kereta yang terbabit dalam kemalangan. FOTO ihsan Polis
Garret Dawum


PESARA guru dipercayai diserang strok sebelum melanggar kereta lain di Matang Jaya, Kuching, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, dalam kejadian membabitkan tujuh kenderaan pada 12.10 tengah hari itu, mangsa yang berusia 69 tahun sedang mengundur Proton Exora miliknya.

“Ketika berundur, dia tidak menyedari kereta Perodua Axia di belakang lalu melanggarnya. Akibat perlanggaran itu, Perodua Axia terbabit melanggar tiga kereta lain yang diletakkan di tempat letak kereta.

“Mangsa pula tidak menyedari bahawa gear ‘R’ (undur) tertukar kedudukan ke ‘D’ (pandu) sebelum melanggar dua kereta di hadapannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pesara guru terbabit pitam dan dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai diserang strok ringan dan mempunyai rekod berkenaan penyakit terbabit sebelum ini.

“Mangsa lain dalam kejadian ini bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut kesalahan lalu lintas Peraturan 10 LN166/59.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 12:27 PM