POLIS menahan empat lelaki ahli Geng 24. FOTO Ihsan PDRM
POLIS menahan empat lelaki ahli Geng 24. FOTO Ihsan PDRM
Nur Lela Zulkipli


EMPAT lelaki dipercayai ahli pertubuhan haram Geng 24 dicekup dalam Op Cantas di pusat hiburan, di Bandar Bukit Tinggi, di Klang, awal pagi, hari ini.

Pegawai Turus Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Deputi Superintendan Azmi Syukor berkata, serbuan kira-kira 3 pagi itu turut disertai pegawai dan anggota D7 IPK Selangor.

Menurutnya, empat lelaki berusia antara 20 dan 30-an itu didapati mempunyai tatu berunsur kumpulan kongsi gelap.

“Mereka mengaku terbabit dengan Geng 24.

“Semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan Haram 1966,” katanya.

Azmi berkata, pihaknya turut menahan dua lelaki warga tempatan bekerja sebagai penjaga kaunter dan pekerja pusat hiburan berkenaan.

Dalam serbuan sama, polis turut merampas 191 botol minuman keras pelbagai jenama yang bernilai RM12,000 keseluruhannya.

“Kesemua tahanan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan bagi tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966; Seksyen 6(1) Enekman Hiburan Dan Tempat-Tempat Hiburan (EHTTH) 1995 dan Seksyen 135 Akta Kastam 1967,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 1:00 PM