Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
Nurul Amanina Suhaini


POLIS giat memburu saki-baki ahli kumpulan kongsi gelap Geng 04 Bukit Indah Brother’s di Iskandar Puteri, Johor, yang diketuai seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, 17 ahli kumpulan sudah dikenal pasti dan rata-rata berasal dari Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Menurutnya, ahli kumpulan kongsi gelap itu dipercayai sering berkumpul di pusat hiburan di sekitar Taman Nusa Bestari.

“Beberapa serbuan dan tangkapan berjaya dilakukan terhadap ketua kumpulan dan ahlinya sejak 2015 hingga 2018 atas kesalahan dengan jenayah kekerasan mengikut Akta Pertubuhan Haram 1966.

“Semakan rekod terhadap ketua Geng 04 itu mendapati ketua geng itu mempunyai tiga rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan tiga rekod tangkapan iaitu pada 2013, 2017 dan 2018,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, dua kes sudah dibawa ke mahkamah, manakala satu kes masih dalam siasatan.

“Hasil risikan, kami mendapati ketua Geng 04 ini terbabit dalam perniagaan pusat hiburan di Taman Nusa Bestari. Siasatan ke atas premis mendapati tiada sebarang lesen hiburan sah.

“Sejak mengenal pasti kegiatan itu, beberapa siri serbuan dan tangkapan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Daerah Iskandar Puteri.

“Selain itu, hasil siasatan beberapa kes boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959,” katanya.

Dzulkhairi turut menyangkal tohmahan netizen yang mendakwa ada anggotanya melindungi geng kongsi gelap, selain tidak mengambil tindakan, walaupun menerima laporan berhubung kegiatan itu.

Menurutnya, setakat ini, pihaknya sudah melakukan 15 serbuan membabitkan 25 tangkapan berkaitan kegiatan kongsi gelap sepanjang 2016 hingga tahun ini.

Katanya, kesalahan disiasat mengikut Seksyen 6(2) Enakmen Johor dan Seksyen 43 Akta Pertubuhan Haram 1966, selain 13 kes dituduh di mahkamah serta dua kes masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2019 @ 8:02 PM