Kawasan tempat letak kereta Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dilanda banjir kilat akibat hujan lebat. FOTO ihsan pembaca (Saiful)
Kawasan tempat letak kereta Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dilanda banjir kilat akibat hujan lebat. FOTO ihsan pembaca (Saiful)
Omar Osman


HUJAN lebat dua jam sejak 4 petang hari ini menyebabkan beberapa kawasan di daerah ini termasuk tempat letak kereta Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani dilanda banjir kilat.

Selain HSAH, kawasan lain dilanda banjir kilat adalah Jalan Sungai Petani-Tikam Batu berhampiran stesen minyak Shell Padang Temusu menyebabkan kenderaan yang melalui jalan terbabit terjejas.

Selain itu kawasan rendah disekitar Kampung Raja, Pengkalan Lebai Man, Kampung Tengah dan Kampung Dakwah juga dilanda banjir kilat.

Kakitangan HSAH yang enggan dikenali berkata, hujan lebat sejak 4 petang menyebabkan air mula melimpah sekitar tempat letak kereta hospital dan kejadian banjir bukan pertama kali berlaku sejak wujudnya projek di sebelah HSAH.

"Minggu lalu kawasan tempat letak kereta sekitar hospital ini juga dinaiki air akibat hujan berterusan.

"Bagaimanapun ia kembali surut tidak lama kemudian selepas hujan berhenti," katanya ketika dihubungi hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2017 @ 8:29 PM