ISMAIL Sabri ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, hari ini. FOTO Ihsan PMO.
ISMAIL Sabri ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, hari ini. FOTO Ihsan PMO.
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) diaktifkan segera bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula November depan.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan dihadiri oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Menteri Besar, Ketua Menteri serta agensi terbabit.

Ismail Sabri berkata, peruntukan sebanyak RM2.59 juta disediakan bagi menaik taraf kemudahan asas dan fasiliti di semua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) seperti penyediaan bilik mandi serta tandas.

"Kementerian Pendidikan (KPM) diarahkan supaya asrama yang tidak dihuni pelajar ketika bencana berlaku digunakan oleh orang ramai yang terjejas khususnya untuk memberi keselesaan kepada warga emas, anak kecil dan wanita.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga perlu menyediakan makanan retort dalam tempoh 24 jam pertama, keperluan bayi dan warga emas seperti lampin pakai buang untuk mangsa bencana yang dipindahkan ke PPS," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, JKM sudah bersiap sedia untuk mengaktifkan 6,010 PPS di seluruh negara yang mempunyai kapasiti menempatkan 1,620,855 mangsa.

Katanya, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) turut mengagihkan 59,350 kit makanan dan 127,272 khemah bagi memastikan kelancaran pengurusan penempatan di PPS.

"JPBN dan JPBD perlu bersedia lebih awal bagi memastikan bantuan bekalan sampai di semua lokasi terbabit bagi mengelakkan keadaan lebih sukar sekiranya jalan terputus atau sebagainya," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan memperuntukkan RM8 juta untuk Pengurusan Pengoperasian Bencana selain sebanyak RM4.8 juta diperuntukkan bagi menyediakan 320 bot fiber bersama enjin kepada daerah terbabit sebagai usaha memperkasa peranan komuniti ketika berlaku bencana.

Beliau berkata, kerajaan juga menggerakkan 22,622 aset air seperti bot, treler bot dan jet ski milik semua agensi dan aset berkenaan perlu dikoordinasi sebaik mungkin supaya kerja menyelamat dilaksanakan dengan berkesan.

Katanya, JPBN dan JPBD diarah memastikan sistem amaran awal bencana berfungsi dengan baik dan mesyuarat bersetuju supaya bunyi amaran awal itu berbeza dengan bunyi siren kenderaan keselamatan bagi mengelak kekeliruan.

Malah, katanya, pengumuman berpindah akan dibuat oleh pihak berkuasa melalui sistem pembesar suara.

"Seluruh Keluarga Malaysia khususnya yang tinggal di kawasan rendah dan terdedah risiko banjir diminta sentiasa peka amaran awal bencana dan berpindah segera sekiranya mendapat arahan daripada pihak berkuasa," katanya.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) menjangkakan fasa peralihan monsun akan bermula pertengahan September ini sehingga November dan MTL 2022/2023 pula bermula November hingga Mac 2023.

Kelantan, Terengganu dan Pahang dijangka mengalami hujan lebat monsun bermula November hingga Disember manakala Johor, Sabah dan Sarawak dijangka berhadapan hujan lebat monsun bermula Disember hingga Januari 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September 2022 @ 4:39 PM