Mohd Husni Mohd Noor

CUTI bagi anggota keselamatan dan penyelamat membabitkan pelbagai agensi dibekukan mulai November hingga Disember ini sebagai persiapan menghadapi bencana banjir.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, arahan pembekuan cuti itu dikeluarkan sebagai langkah siap siaga memandangkan beberapa negeri di Pantai Timur mula menerima taburan hujan yang tinggi susulan ketibaan Monsun Timur Laut.

Beliau berkata, anggota keselamatan yang terbabit dengan pembekuan cuti itu termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat; Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM); Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM); Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan pasukan pengurusan bencana di peringkat negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan Monsun Timur Laut sudah bermula pada 27 Oktober lalu dan dijangka berlarutan hingga Mac 2019. Malah, amaran hujan lebat berterusan peringkat waspada (kuning) sudah dikeluarkan bagi negeri Kelantan dan Terengganu Sabtu lalu.

"Pada hari sama juga, Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) turut mengeluarkan notis kesiapsiagaan kepada agensi-agensi berkaitan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pengurusan Bencana Pusat (JKTPBP) kali pertama di Putrajaya, hari ini.

DR Wan Azizah ketika sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pengurusan Bencana Pusat. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
DR Wan Azizah ketika sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pengurusan Bencana Pusat. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor

Katanya, selain hujan lebat di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor, pihaknya meramalkan fenomena air pasang besar di beberapa negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Dr Wan Azizah berkata, PDRM juga diingatkan supaya menggerakkan aset dan keanggotaan seramai 31,531 di seluruh kontinjen negeri di seluruh negara.

Menurutnya, Ketua Polis Negeri di setiap negeri juga hendaklah dalam keadaan bersedia sepenuhnya untuk mengetuai operasi pemindahan dan menyelamat mangsa banjir.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga hendaklah mengatur gerak pusat pemindahan banjir yang kini membabitkan 5,448 pusat bagi menampung kapasiti seramai 1.65 juta mangsa.

"Depot dan stor makanan di setiap negeri dan daerah juga hendaklah selesai membuat penambahan dan pemeriksaan stok. Buat masa ini, terdapat lima depot simpanan, 165 stor bencana dan 581 pengkalan hadapan disediakan bagi persiapan menghadapi banjir," katanya.

Katanya, Jabatan Perkhidmatan Veteriner (DVS) juga hendaklah mengatur gerak kesiapsiagaan untuk pemindahan haiwan semasa banjir bagi mengelak kerugian lebih besar.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah berkata, tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi banjir perlu dipandang serius oleh semua pihak termasuk agensi keselamatan dan masyarakat bagi mengelak keadaan bertambah buruk.

Selain itu, katanya, RM1.77 juta sudah diluluskan dan sedang diagihkan bagi perbelanjaan sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan perbelanjaan operasi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Oktober 2018 @ 8:49 PM