GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Georgetown: Polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian seorang wanita warga asing yang disamun sehingga mengalami kecederaan dan mendakwa dirogol ketika sedang berjalan di kawasan Tanjung Tokong, di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa berusia 24 tahun itu mendakwa dia sedang berjalan pada 7.30 malam sebelum belakang kepalanya dipukul dan menyebabkannya terjatuh serta pengsan.

"Mangsa kemudiannya tersedar daripada pengsan dan berada di kawasan semak berhampiran dia berjalan kaki, serta mendapati telefon bimbit dibawanya hilang manakala bahagian kepala sakit dan mukanya cedera dipercayai akibat terjatuh selepas dipukul.

"Wanita itu mendakwa dia kemungkinan turut dirogol dalam kejadian itu dan mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk menerima rawatan, dia membuat laporan polis berhubung insiden itu pada 4.30 pagi Isnin," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, terdapat dua saksi yang melihat mangsa berjalan kaki di kawasan itu iaitu sebelum kejadian dia disamun, namun mereka berjoging ke hadapan dan tidak perasan wanita itu disamun.

Soffian berkata, berdasarkan laporan awal daripada doktor di HPP, tidak terdapat kesan koyakan baru pada kemaluan wanita itu namun pihaknya masih menunggu laporan lengkap perubatan berhubung perkara berkenaan.

Katanya, ketika ini polis masih mengesan suspek yang terbabit dalam kejadian itu dan meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung insiden berkenaan agar menyalurkannya kepada polis.

"Tiada kamera litar tertutup di kawasan kejadian itu namun polis sedang mendapatkan maklumat daripada saksi yang berada di situ bagi membantu siasatan lanjut kes itu," katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu samun dengan mendatangkan cedera.

Tular di media sosial, gambar seorang seorang wanita mendakwa dirogol dan dipukul ketika berjalan kaki di kawasan Tanjung Tokong sehingga menimbulkan kegusaran orang ramai ramai kerana bimbang kejadian serupa berlaku lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 12:28 PM