SPESIS Alligator Snapping Turtle yang dilepaskan di tasik Putrajaya. FOTO ihsan pembaca
SPESIS Alligator Snapping Turtle yang dilepaskan di tasik Putrajaya. FOTO ihsan pembaca
Siti A’isyah Sukaimi


BEBERAPA gambar menunjukkan seekor kura-kura dipercayai spesies ‘Alligator Snapping Turtle’ yang bersifat agresif dilepaskan di tasik Putrajaya tular di media sosial sejak semalam.

Menerusi gambar yang dikongsi dalam Facebook dan Twitter, kura-kura berkenaan dibawa sekumpulan individu dipercayai selepas menjalani suatu upacara.

Berdasarkan latar pemandangan pada gambar, lokasi kura-kura itu dilepaskan dipercayai di tasik berdekatan Taman Seri Empangan, Presint 5 di Putrajaya.

Susulan itu, pengguna media sosial mengecam tindakan berkenaan selain mendakwa, pelepasan kura-kura spesies itu boleh mengganggu hidupan yang terdapat di tasik Putrajaya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN), Datuk Dr Abdul Kadir Abu Hashim berkata, kura-kura itu dikategori sebagai ‘invasive alien’ boleh mengganggu hidupan asal di lokasi berkenaan.

“Kura-kura ‘Alligator Snapping Turtle’ ialah spesies yang bukan asli kepada ekosistem tempatan dan boleh menyebabkan bahaya kepada alam sekitar.

“Apabila dilepaskan ke tasik oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, ia akan mengganggu ekosistem dan spesies asal di lokasi itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, usaha Harian Metro untuk mendapatkan penjelasan daripada Perbadanan Putrajaya (PPj) berhubung kejadian itu tidak berhasil.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Oktober 2019 @ 6:28 PM