BOM lama dipercayai peninggalan zaman perang ditemui di kawasan pembinaan Genting Permai. FOTO IHSAN PEMBACA
BOM lama dipercayai peninggalan zaman perang ditemui di kawasan pembinaan Genting Permai. FOTO IHSAN PEMBACA
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


SEKUMPULAN pekerja di tapak pembinaan di Genting Permai dekat Genting Highlands, Bentong, gempar selepas menemui bom lama dipercayai peninggalan zaman Perang Dunia II, semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Yusuf Unis berkata, bom jenis ‘Aerial’ ditemui pekerja binaan jam 2 petang sebelum melaporkan kepada pihak berkuasa.

“Siasatan awal mendapati bom berukuran 104 sentimeter (sm) dengan ukuran lilit 86.36 sm ditemui ketika aktiviti mengorek tanah dilakukan di tapak pembinaan.

“Anggota polis yang tiba di lokasi kejadian kemudian menjalankan siasatan sebelum mengesahkan objek ditemui adalah bom lama dan sudah berkarat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, Unit Pemusnah Bom (UPB) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang dipanggil bagi melakukan kerja memusnahkan bom.

Katanya, bom berkenaan berjaya dimusnahkan di satu lokasi selamat jam 12.30 tengah hari tadi.

Yusuf berkata, tiada sebarang insiden tidak diingini atau kecederaan dilaporkan sepanjang operasi dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Oktober 2019 @ 4:03 PM